Sathianathan (kiri) yakin Faiz boleh menjadi pemain lebih baik. FOTO NSTP
Sathianathan (kiri) yakin Faiz boleh menjadi pemain lebih baik. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


PENGENDALI Selangor, B Sathianathan percaya penyerangnya, Mohd Faiz Nasir mampu menjadi antara tonggak penting buat skuad kebangsaan.

Namun dia perlu meningkatkan beberapa aspek dalam permainan.

Faiz, 26, kini berada pada kemuncak prestasi dan dua jaringan pentingnya masing-masing ketika membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Afghanistan 2-1 dalam Piala Airmarine, selain mencetak gol kemenangan buat Red Giants ke atas Terengganu FC 1-0 di saingan Liga Super, Jumaat lalu.

Paling manis, pemain bertubuh kecil dengan hanya berketinggian 152 sentimeter itu mencipta sejarah peribadi apabila dua gol itu adalah jaringan pertamanya di peringkat antarabangsa serta liga domestik untuk musim ini.

"Faiz 'ok', tapi banyak lagi dia nak kena belajar.

Menjaringkan gol adalah tugas dia tetapi ada benda-benda lain yang dia harus belajar lagi.

"Saya nampak walaupun faktor umur dia sudah agak lewat kerana berusia 26 tahun, tapi dia seorang yang cepat belajar dan memahami.

Kalau dia terus belajar lagi, dia boleh jadi pemain lebih hebat lagi daripada apa yang dia ada sekarang," kata bekas pengendali kebangsaan itu.

Faiz yang turut dikenali dengan jolokan 'Messi Ganu' mula mencipta impak apabila berjaya membantu bekas pasukannya, Terengganu FC mara ke final Piala Malaysia menentang Perak musim lalu.

Dalam aksi final itu, Faiz turut meledak hasil jaringan jarak jauh namun terpaksa akur apabila Perak memenangi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam 120 minit aksi.

Pentas final itu nyata membawa tuah buat tonggak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu apabila Selangor 'melamarnya' dan muncul antara pemain utama skuad kendalian Sathianathan sekaligus membuka laluan untuk mengetuk pintu skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:11 PM