ALONSO (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto fail
ALONSO (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto fail
AFP

LONDON: Bos Chelsea, Antonio Conte percaya deretan kemenangan yang diraih Manchester City menafikan pujian yang sepatutnya diperoleh skuad bimbingannya atas persembahan baik mereka ketika ini.

Kemenangan tipis 1-0 dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Southampton, semalam menerusi jaringan tunggal Marcos Alonso adalah kemenangan kelapan dalam 10 perlawanan terakhir Chelsea.

Begitupun, The Blues kekal di tangga ketiga dan ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu, City yang merekodkan 16 kemenangan berturut-turut liga.

“Kami memenangi perlawanan yang sukar dan saya mahu mengingatkan yang dalam 10 perlawanan lepas, kami menang lapan perlawanan, seri sekali dan hanya tewas sekali,” kata Conte.

“Jika seseorang berkata kepada saya ‘bagi 10 perlawanan selepas ini adakah kamu bersedia dengan keputusan ini’, saya berkata ‘saya bersedia!’

“Seseorang lupa mengenai perjalanan ini kerana kita sedang melihat pasukan lain sedang memenangi setiap perlawanan.”

Begitupun, Conte mengakui kemenangan yang diraih Chelsea sepatutnya lebih meyakinkan dengan penyudah yang lebih baik.

Conte mahu pasukannya lebih klinikal di depan pintu gol selepas mengadu yang kemenangan dengan jaringan tunggal tidak membenarkannya, pasukan atau peminat Chelsea untuk merasa tenang.

Chelsea melakukan 24 cubaan ke gawang menentang Southampton yang turun dengan corak bertahan dengan satu cubaan dalam empat minit secara agregat tetapi hanya sepakan percuma Alonso berjaya menewaskan penjaga gol Saints , Fraser Forster.

Forster juga tampil dengan beberapa aksi menyelamat baik antaranya cubaan Pedro dan Cesc Fabregas.

“Ia hanya 1-0 (sekali pun) kami mendapat begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol kedua supaya kamu boleh lebih tenang,” kata Conte.

“Saya amat gembira kerana saya melihat komitmen dan kami menamatkan perlawanan tanpa bolos. Tetapi saya yakin pada musim ini kami mencipta lebih banyak peluang namun kami perlu lebih tepat dengan penyudah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 4:17 PM