HAALAND meraikan kemenangan City.
HAALAND meraikan kemenangan City.
Agensi

London: Erling Haaland memberi amaran kepada pencabar Manchester City bahawa dia masih dalam proses menyesuaikan diri selepas tampil cemerlang dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain sensasi berusia 22 tahun itu meledak dua gol ketika membenam West Ham Sabtu lalu dan tidak berdepan masalah dengan rakan sepasukan baharunya.

Namun Haaland berkata juara bertahan EPL kendalian Pep Guardiola itu akan lebih cemerlang jika dia membentuk persefahaman lebih baik bersama barisan bintang sekitarnya.

Pemain Norway berharga £51.4 juta (RM276.65 juta) itu berkata: "Saya dikelilingi pemain hebat dan kami perlu membina persefahaman.

"Kami akan menjadi lebih bagus. Masih di awal musim dan kami perlu perbaiki setiap aspek tetapi ia permulaan yang baik."

Haaland memanfaatkan hantaran Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne untuk dua jaringannya ketika membenam Hammers.

Dia yakin hubungannya dengan pemain yang kreatif memberikannya senjata untuk lebih berbisa dan digeruni pencabar City.

Mereka menjuarai liga musim lalu walaupun penjaring terbanyak, De Bruyne hanya meledak 15 jaringan.

Penyerang Gabriel Jesus berpindah ke Arsenal dan pemain sayap, Raheem Sterling menyertai Chelsea namun kehadiran Haaland pastinya menggembirakan City.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 9:23 AM