NIXON Guylherme (tengah) berjaya menjaringkan gol sambil diraikan oleh rakan-rakannya pada perlawanan  Liga Premier Malaysia 2022 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NIXON Guylherme (tengah) berjaya menjaringkan gol sambil diraikan oleh rakan-rakannya pada perlawanan Liga Premier Malaysia 2022 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pendahulu liga, Kelantan FC terus mengukuhkan kedudukan apabila menjinakkan Kuching City FC 2-0 dalam saingan Liga Perdana, petang tadi.

Kemenangan itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Kelantan di laman sendiri dengan membawa tiga mata.

Terdahulu, pasukan tuan rumah diasak Kuching FC menerusi lambungan Wan Faiz Wan Sulaiman namun sekadar melepasi tiang gol pada minit awal perlawanan.

Memasuki minit ke 40 layangan kad kuning pertama diterima tuan rumah menerusi pemain, Danial Hadri yang melakukan kekasaran terhadap pelawat.

Kelantan kemudian membuat dua pertukaran pemain di minit akhir separuh masa pertama dengan mengeluarkan Danial Hadri dan Dzulfahmi Hadi dan memasukkan import, Nixon Guyhelrme dan Shahrul Iqwan.

Kedua pasukan bersaing mencari gol pembukaan namun gagal membolosi gawang gol masing-masing sehingga tindakan Kapten Kuching City FC, Mohamad Adam Shreen mengasari Nixon dihukum penalti.

Nixon mudah menyempurnakan sepakan penalti memberikan Kelantan kelebihan awal meraikan gol pembukaan.

Masuk babak kedua, Kelantan terus dahaga memburu gol namun tandukan Felipe Hereda gagal membolos tiang gol lawan.

Tuah seakan terus memihak Kelantan, apabila percaturan Rezal Zambery Yahya memasukkan pemain, Ikhwan Yazek berjaya apabila pemain itu membalas kepercayaan dengan gol kedua Kelantan pada minit ke 73.

Kedudukan terus kekal hingga wisel penamat menyaksikan Kelantan terus kekal tanpa kalah di Stadium Muhammad ke IV, sekali gus membalas dendam tewas kepada lawan pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 9:10 PM