PENYERANG Barcelona, Ousmane Dembele (kiri) merembat masuk gol pasukannya pada perlawanan menentang Juventus, hari ini. FOTO REUTERS
PENYERANG Barcelona, Ousmane Dembele (kiri) merembat masuk gol pasukannya pada perlawanan menentang Juventus, hari ini. FOTO REUTERS
AFP

Los Angeles: Ousmane Dembele dan Moise Kean masing-masing menjaringkan dua gol ketika Barcelona dan Juventus seri 2-2 pada perlawanan persahabatan jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS) di Dallas, hari ini.

Pemain sayap Perancis, Dembele meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-34 perlawanan di Cotton Bowl, selepas menggelecek dua pemain Juventus, Juan Cuadrado dan Sandro serta menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny unutk menjadikan kedudukan 1-0.

Tetapi, Juventus menyamakan kedudukan apabila bek sayap Colombia, Cuadrado melakukan hantaran lintang rendah yang mudah ditolak masuk Kean mengatasi penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.

Bagaimanapun, Barcelona kembali di depan tidak lama kemudian apabila Dembele menghukum kesilapan di benteng pertahanan.

Cuadrado sekali lagi membuat kesilapan apabila gagal menghalang Dembele yang kemudian merembat mengatasi Szczesny untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez melakukan rombakan besar ketika rehat apabila Dembele dikeluarkan dan digantikan dengan pemain baharu dari Brazil, Raphinha.

Namun, Juventus menyamakan kedudukan pada minit ke-52 apabila Kean melakukan percubaan susulan selepas gerakan menarik Denis Zakaria dan Locatelli.

Dua percubaan Barcelona kemudian terkena tiang dan palang dalam masa beberapa saat pada minit ke-68, menerusi sepakan melencong Raphinha dan Ansu Fati.

Penyerang baharu Barcelona, Robert Lewandowski masih berhempas pulas untuk menunjukkan prestasi sebenar dan dikeluarkan pada pertengahan babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 12:15 PM