AKSI Safuwan menjaringkan gol menerusi  tandukan ketika menentang Harini FT. FOTO Bernama
AKSI Safuwan menjaringkan gol menerusi tandukan ketika menentang Harini FT. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC sebenarnya mampu meratah kelab Liga M3, Harini FT dengan jaringan lebih besar hingga 10 gol dan ia diakui pengendali pasukan itu, Michael Feichtenbeiner.

Red Giants yang turun selaku pasukan tuan rumah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam semalam, nyata menguasai hampir 90 peratus penguasaan bola yang menyaksikan anak buah Feichtenbeiner mudah melakar kemenangan besar 6-0 dalam aksi pusingan pertama Piala FA itu.

Jelas jurulatih dari Jerman itu, pemainnya berjaya mengawal perlawanan dengan baik dan beliau anggap ia perkembangan positif buat pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super itu.

"Saya gembira dengan persembahan kami, sebagai pasukan Liga Super memang kami kena kuasai perlawanan seperti ini apabila menentang pasukan bawahan.

"Saya lihat pemain menguasai keseluruhan perlawanan dan cipta banyak gerakan. Kami sebenarnya mampu jaringkan tiga lagi gol di babak pertama, dan perkara sama juga kita boleh dapat tambahan sekurang-kurangnya tiga hingga empat gol lagi di babak kedua.

"Saya minta pemain tenang mengawal keadaan dan momentum baik ditunjukkan pemain. Bukan mudah cipta 10 atau lebih gerakan untuk menjaringkan gol walaupun menentang pasukan dari Liga M3," katanya.

Dalam aksi itu, skuad Merah Kuning yang juga bekas juara Piala FA sebanyak lima kali (1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009) itu menjaringkan tiga gol dalam setiap babak.

Kenduri gol Selangor bermula dengan jaringan Herlison Caion pada minit ke-17, sebelum Hyuri Henrique menambah gol kedua pada minit ke-29.

Kapten Selangor, Safuwan Baharudin turut meletakkan namanya sebagai penjaring pada minit ke-42 untuk pasukannya selesa mendahului tiga gol pada babak pertama.

Tidak sampai seminit bersambung babak kedua, Syahir Bashah menambah satu lagi gol buat Selangor sebelum Caion melengkapkan hatrik apabila meledak dua gol pada minit ke-63 dan 67.

Sementara itu, pengendali pasukan Harini FT, M Gopalan akui aksi anak buahnya ibarat langit dan bumi, di mana lawan yang beraksi di Liga Super jelas berada pada kelas tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 5:18 PM