AIFA ganti Sivasangari di Birmingham.
AIFA ganti Sivasangari di Birmingham.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Aifa Azman sudah bersedia digandingkan dengan Rachel Arnold dalam acara skuasy beregu wanita pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, bulan depan bagi menggantikan S Sivasangari yang terbabit dengan kemalangan sekali gus tidak dapat beraksi di temasya sukan berprestij itu.

Meskipun perlu menggalas tanggungjawab itu di saat akhir, Aifa tetap optimis gandingannya bersama Rachel mampu menghadirkan kilauan pingat untuk kontinjen negara.

"Isnin lalu kami sudah menjalani latihan bersama, nampak tak terlalu teruk untuk sesi latihan pertama. Awal tahun hari itu kami juga pernah berlatih bersama sebab masa itu Sivasangari masih di Amerika Syarikat (AS), (masa itu) memang nampak agak janggal dan tak sesuai.

"Tapi Isnin lalu saya agak terkejut juga sebab kami berdua dapat membentuk keserasian antara satu sama lain. Kami berdua pun tak ada masalah untuk pilih di sebelah mana kami nak main.

"Pada mulanya agak pelik juga sebab kami berdua bermain sebelah kanan dengan gandingan masing-masing sebelum ini. Jadi secara keseluruhannya tak ada masalah untuk saya bergandingan dengan Rachel. Insya-Allah tak mustahil untuk dapat pingat," katanya.

Jelas Aifa, dia yakin mampu membentuk keserasian dengan Rachel pada baki beberapa minggu lagi sebelum Sukan Komanwel Birmingham membuka tirainya pada 28 Julai depan.

"Saya rasa kami mempunyai masa cukup untuk biasakan diri dengan corak permainan masing-masing. Apabila dapat komunikasi yang bagus, segala-galanya akan menjadi OK," katanya.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam semalam mengesahkan Aifa akan menjadi pengganti kepada Sivasangari untuk digandingkan bersama Rachel.

Sivasangari, yang dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang di Birmingham bersama atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, dilapor mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di Lebuhraya Express Maju pada jam 3.46 pagi, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:09 PM