BALACHANDRAN bekas  penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya dari 2018 hingga 2021.
BALACHANDRAN bekas penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya dari 2018 hingga 2021.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sarawak United FC (SUFC) mengesahkan pengunduran ketua jurulatih, B Sathianathan atas faktor kesihatan di mana beliau memerlukan pemerhatian khusus dan rawatan susulan daripada pakar.

Presiden SUFC, Datuk Posa Majais dalam satu kenyataan berkata, pengurusan SUFC mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Sathianathan atas khidmat dan bakti beliau kepada SUFC selama ini.

"Dalam meneruskan perjuangan Liga Super musim ini, SUFC telah melantik ketua jurulatih baharu iaitu S Balachandran berkuatkuasa serta-merta.

"Keputusan ini diambil oleh pengurusan SUFC dan presiden bagi meneruskan kemaraan dalam liga. Semoga SUFC bangun dari kebangkitan dengan semangat baru," katanya.

Sathianathan ketika dihubungi Arena Metro sebelum ini mengesahkan beliau terpaksa berehat seketika daripada bola sepak bagi menjalani rawatan kesihatan selepas dinasihatkan oleh pegawai perubatan.

Berdasarkan profil Sathianathan, beliau mula berjinak dalam dunia kejurulatihan pada 1992 apabila membimbing Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas.

Kemuncak kariernya sudah pasti ketika dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009 selain sebelum itu turut melatih skuad B-23 tahun negara dengan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.

Dalam saingan Liga M, bekas pemain negara itu turut cemerlang membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).

Selain itu, beliau turut dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

Balachandran pula bukan nama baru dalam bola sepak tempatan dan sentuhan paling diingati ketika beliau hampir membawa skuad B-16 tahun negara layak ke Piala Dunia Remaja B-17 pada 2014.

Skuad negara yang beraksi di suku akhir Kejuaraan AFC tewas tipis 1-2 di tangan Australia di mana jika menang ketika itu, Malaysia akan layak ke Piala Dunia dengan slot separuh akhir menjanjikan tempat ke saingan itu.

Selain itu, Balachandran juga adalah bekas penolong jurulatih skuad senior Harimau Malaya di belakang Tan Cheng Hoe dari 2018 hingga 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 3:34 PM