JAAMI mengunjungi FAM baru-baru ini.
JAAMI mengunjungi FAM baru-baru ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan tiada perbincangan lanjut bersama pemain kacukan Malaysia-Iraq, Jaami Qureshi supaya individu berkenaan beraksi bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Malah, pertemuan bersama pemain berkenaan di Wisma FAM baru-baru ini bukanlah membincangkan mengenai status Jaami namun lebih kepada 'program lawatan' semata-mata untuk berjumpa presiden Datuk Hamidin Mohd Amin dan ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon.

Mengesahkan situasi berkenaan, Setiauasaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, usaha untuk membawa pemain berkenaan beraksi bersama pasukan kebangsaan agak sukar memandangkan Jaami kini memegang pasport Great Britain.

Beliau berkata, pemain berkenaan perlu membuat pilihan dengan melepaskan kerakyatan Great Britain dan memohon pasport Malaysia sekali gus berpeluang cerah beraksi bersama Harimau Malaya.

"Sebenarnya tak ada bincang untuk Jaami bermain bersama Malaysia pada perjumpaan baru-baru ini. Dia hanya hantar emel untuk berjumpa presiden dan Pan-gon dan kita pun balas boleh.

"Pada perjumpaan itu, tak ada langsung bincang apa-apa termasuklah berkaitan agenda tertentu. Semua orang cakap dia akan bermain untuk pasukan kebangsaan namun untuk pengetahuan semua Jaami bukan rakyat Malaysia.

"Dia kena tahu prosedur negara kita tak membenarkan memegang dua kerakyatan. Perkara itu sudah diterangkan kepada pemain terbabit namun jika segala dokumentasi selesai barulah akan melalui sesi pemilihan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, timbul desas desus pemain berusia 18 tahun itu bakal menyarung jersi kebangsaan selepas dikatakan mengunjungi Wisma FAM baru-baru ini. Perkara ini dikongsikan bapa Jaami iaitu Perviz Qureshi menerusi laman Instagram Story miliknya yang menunjukkan anaknya mengambil gambar di lobi pejabat badan bola sepak negara itu.

Jaami sebelum ini, memberi bayangan dia bakal beraksi bersama skuad kebangsaan Iraq selepas mengucapkan terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan kepadanya.

Mengikut rekod, pemain berusia 18 tahun itu ketika ini sedang menjalani ujian bersama kelab yang dimiliki oleh taikun dari Malaysia, Tan Sri Vincet Tan iaitu Cardiff City selepas dilepaskan oleh Brighton & Hove Albion.

Musim lalu, Jaami membantu Brighton menjuarai saingan Premier League Cup Bawah 17 tahun selepas mengalahkan Middlesbrough di pentas akhir.

Sepanjang saingan peringkat kumpulan dan kalah mati, Jaami menyumbang satu gol iaitu pada aksi suku akhir menentang Southampton yang mana Brighton menang 6-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 12:06 PM