JAAMI (kanan) ketika beraksi bersama Brighton & Hove Albion. FOTO Jaami Qureshi
JAAMI (kanan) ketika beraksi bersama Brighton & Hove Albion. FOTO Jaami Qureshi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya tampaknya sudah boleh melupakan impian untuk membawa pulang seorang lagi pemain kacukan negara, Jaami Qureshi yang dijangka memilih skuad kebangsaan Iraq.

Mendedahkan perkara itu secara eksklusif, bapanya iaitu Perviz Qureshi mendakwa Persatuan Bolasepak Iraq dilihat cukup profesional terutama dalam membina hubungan dengan pemain yang sedang dipantau oleh mereka.

Namun perkara itu tidak dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang pernah menghubungi pihaknya sekali iaitu pada Jun 2020.

Katanya, pada ketika itu FAM cukup berminat untuk memberi peluang kepada Jaami beraksi bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara di pusingan akhir Kejuaraan AFC di Uzbekistan pada tahun lalu.

Begitupun, hasrat itu tidak kesampaian apabila saingan itu dibatalkan ekoran pandemik Covid-19 yang menghalang AFC untuk meneruskan pertandingan itu.

"Iraq sentiasa berhubung pemain di bawah mereka bagi memastikan kualiti yang ada pada pasukan pembangunan tidak terjejas, dan mereka dilihat lebih profesional dalam melakukan rundingan.

"Mereka juga kerap berhubung boleh dikatakan setiap minggu dan membantu banyak perkara. Pada pendapat peribadi saya, pengurusan mereka lebih baik," katanya ekslusif kepada Arena Metro.

Jaami, 17, yang ketika ini beraksi untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion adalah seorang lagi calon bintang skuad Harimau Malaya yang boleh diketengahkan selepas Dion Cools di bawa pulang sebelum ini.

Cools, 25, yang beraksi buat kelab Denmark, FC Midtjylland berjaya membawa impak positif dalam skuad negara terutama ketika di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu.

Lantas, kegagalan memikat Jaami dianggap satu kerugian besar ketika dia dilihat boleh memperkukuhkan bahagian tengah negara seperti mana aksi cemerlangnya ketika membantu Brighton menjuarai Piala Liga Perdana B-17, bulan lalu.

Ujar bapanya lagi, cadangan untuk Tunku Ismail Sultan Ibrahim menguruskan skuad kebangsaan dianggapnya tepat kerana pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memiliki kesungguhan tinggi selain amat dikenali di peringkat antarabangsa.

"Saya percaya HRH (Tunku Mahkota Johor) dari Johor lebih sesuai untuk menguruskan FAM (skuad kebangsaan) kerana mempunyai semangat dan kesungguhan dan pengalaman dengan JDT yang tidak dapat diikuti oleh pasukan lain.

"Beliau mempunyai hubungan antarabangsa dan berpotensi untuk meletakkan Malaysia di peta dunia bola sepak," katanya yang mengakui Jaami akan terus kekal di England bersama Brighton.

Untuk rekod, Tunku Ismail juga adalah individu penting yang memujuk Cools untuk main bersama skuad Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 7:17 PM