JAAMI boleh beraksi buat Malaysia di pentas antarabangsa kerana ibunya berbangsa Melayu dan berasal daripada Manjoi, Perak. FOTO Agensi
JAAMI boleh beraksi buat Malaysia di pentas antarabangsa kerana ibunya berbangsa Melayu dan berasal daripada Manjoi, Perak. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah Harimau Malaya bakal terlepas khidmat pemain kacukan yang beraksi di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion, Jaami Qureshi?

Persoalan itu timbul selepas viral di media sosial mengenai kenyataan bapanya, Perviz Qureshi di sebuah portal bola sepak dengan menyatakan Persatuan Bolasepak Iraq turut berminat dengan anaknya itu.

Jaami, 17, yang kini muncul tonggak utama skuad B-17 Brighton & Hove Albion boleh beraksi buat Malaysia di pentas antarabangsa kerana ibunya berbangsa Melayu dan berasal daripada Manjoi, Perak.

Malah, dia juga boleh mewakili Iraq susulan bapanya mempunyai pertalian darah dengan negara Arab itu sebagai pemain berdarah kacukan.

Kata Perviz, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berusaha untuk meyakinkan pihaknya berbanding Persatuan Bolasepak Iraq yang kerap menghubungi keluarganya.

"Tiada siapapun dari FAM menghubungi kami melainkan Iraq yang kerap berhubung dan dari situ anda boleh fikirkan pilihan yang mungkin ada," katanya seperti yang tular di media sosial ketika ini.

Jika benar, skuad Harimau Malaya kemungkinan terlepas khidmatnya selepas prestasi pemain kacukan atau warisan di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) cukup membantu pasukan negara.

Tonggak kacukan seperti Dion Cools, Brendan Gan, Corbin Ong, Matthew Davies dan ramai lagi membawa dimensi yang berlainan buat skuad kebangsaan.

Malah, timbul saranan supaya FAM memberi fokus sepenuhnya mencari atau membawa pulang lebih ramai pemain kacukan berbanding memberi kerakyatan kepada pemain naturalisasi yang dikecam hebat susulan aksi longkai di UAE baru-baru ini.

Untuk rekod, FAM pernah menghubungi Jaami pada 2019 dan 2020 beraksi dengan skuad B-19 tahun negara untuk Kejuaraan AFC di Uzbekistan, namun saingan itu terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 3:53 PM