Pemain kacukan negara Jaami Qureshi (kanan) beraksi bersama skuad B-17 Brighton & Hove Albion.
Pemain kacukan negara Jaami Qureshi (kanan) beraksi bersama skuad B-17 Brighton & Hove Albion.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara masih membuka pintu buat pemain kacukan cukup berbakat, Jaami Qureshi bagi memperkuatkan pasukan muda negara di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, tonggak tengah berusia 17 tahun itu perlu terlebih dulu pulang ke tanah air bagi mendapatkan pasportnya sebelum boleh menyertai pasukan dalam beberapa kejohanan utama termasuk Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 serta dua kitaran Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 iaitu pada 2022 dan 2024 nanti.

Meskipun ketika ini skuad kebangsaan Iraq turut berminat dengan pemain utama skuad B-17 Brighton & Hove Albion di Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, pengendali negara, Brad Maloney mengakui sentiasa memantau perkembangan karier Jaami di Eropah.

Katanya, beliau menganggap Jaami yang memiliki darah Malaysia dari sebelah ibunya mempunyai kualiti tersendiri dan percaya kehadirannya mampu menjadi aset berharga buat pasukan negara.

"Kami ada jemput Jaami untuk latihan pusat tahun lalu ketika kem pada Julai dan Ogos, tapi ada beberapa isu mengenai tempoh kuarintin dan lain-lain, di mana kita menghormatinya (tidak jadi datang).

"Kita mengikuti rapat perkembangannya tapi daripada apa yang saya faham, dia ada masalah pasport yang perlu diselesaikan.

"Bila tiba masa sesuai dan dia sudah bersedia menyertai pasukan negara, sudah pasti dia aset yang baik untuk pasukan. Tapi buat masa ini dia perlu selesaikan dulu urusan pasport Malaysia, kalau tidak agak sukar sertai pasukan," kata pengendali dari Australia itu.

Semalam, Arena Metro melaporkan kemungkinan skuad negara bakal kehilangan khidmat Jaami yang dijangka memilih skuad kebangsaan Iraq.

Mendedahkan perkara itu secara eksklusif, bapanya iaitu Perviz Qureshi mendakwa Persatuan Bolasepak Iraq dilihat cukup profesional terutama dalam membina hubungan dengan pemain yang sedang dipantau oleh mereka berbanding Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang hanya sekali berhubung pada Jun tahun lalu.

Sementara itu, Maloney yang bakal membawa pasukan B-20 ke Mongolia bagi mengharungi pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC pada Oktober nanti mengakui cuaca sejuk antara cabaran akan ditempuhi anak didiknya di sana nanti.

"Kita sedang merancang persiapan pasukan dengan kemungkinan berlatih di beberapa negara sebelum ke pusingan kelayakan itu. Cuaca antara salah satu yang perlu kita hadapi nanti," katanya.

Pada kelayakan itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama tuan rumah, Mongolia di samping dua lagi pasukan serantau iaitu Thailand dan Laos di mana hanya juara daripada 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak automatik ke pusingan akhir AFC B-23 di Tashkent, Uzbekistan, Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 10:15 PM