Sadio Mane menjalani latihan di Liverpool. FOTO AFP.
Sadio Mane menjalani latihan di Liverpool. FOTO AFP.
Reuters

SADIO Mane berkata dia gembira di Liverpool dan tidak akan terganggu dengan spekulasi mengenai minat Real Madrid terhadap dirinya menjelang perlawanan final Liga Juara-Juara berdepan Tottenham, awal pagi Ahad ini.

Real dilihat sedang memperkuatkan skuad mereka selepas pelantikan semula Zinedine Zidane sebagai pengurus dan Mane adalah antara beberapa nama pemain yang dikaitkan ke Madrid, menurut laporan di Sepanyol.

Pemain kebangsaan Senegal adalah penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini di samping rakan sepasukan Mohamed Salah dan bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang.

Mane menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama Liverpool pada November.

“Pada saya apa yang paling penting adalah Liverpool dan saya gembira di sini,” kata Mane.

“Saya sedang bersedia untuk salah satu daripada perlawanan besar untuk kelab, peminat dan termasuk pemain, jadi lebih baik beri tumpuan kepada perkara ini dahulu dan memenanginya.

“(Spekulasi) adalah sebahagian daripada bola sepak jadi kita harus menerimanya. Amat berbesar hati apabila pasukan seperti itu mahukan (kamu), namun jangan lupa Liverpool. Mereka menewaskan pasukan besar.”

Mane berkata Liverpool mempunyai motivasi istimewa untuk menewaskan Spurs selepas kalah ke atas Real pada final Liga Juara-Juara musim lepas dan menamatkan saingan liga di tempat kedua di belakang Manchester City musim ini.

“(Final tahun lalu) akan membantu dalam perlawanan ini kerana kami mahu memenanginya dan ia bukan mudah. Ia lebih positif kerana ramai orang tidak menjangkakan kami akan beraksi pada final ini,” tambahnya.

“Kami tidak memenangi liga tetapi kami masih mempunyai satu trofi untuk direbut jadi kami akan cuba melakukan segalanya untuk menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:12 PM