PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp pada sidang media menjelang final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid. FOTO REUTERS
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp pada sidang media menjelang final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid. FOTO REUTERS
Reuters

Liverpool: Kecederaan pemain tengah Liverpool, Thiago Alcantara tidak teruk seperti dibimbangkan, kata pengurus, Juergen Klopp, semalam, sekali gus memungkinkan dia diturunkan di final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid, awal pagi Ahad ini.

Thiago mengalami kecederaan otot ketika perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers, Ahad lalu dan Klopp menjangkakan pemain itu terlepas aksi menentang juara Sepanyol itu di Paris.

Walaupun pemain tengah itu tidak berlatih semalam, Klopp berkata, Thiago akan menyertai latihan pada sesi Khamis.

"Ada peluang dan pada masa ini, dia kelihatan akan menyertai latihan esok dan ia sesuatu yang sudah tentu membantu dan kami boleh merancang daripadanya," kata Klopp pada sidang media.

"Jadi, ia kejutan yang bagus. Selepas perlawanan Ahad lalu, saya tidak terlalu positif mengenainya. Tetapi kami dapat berita bahawa kecederaannya tidak terlalu teruk dan kita akan lihat nanti," katanya.

Klopp berkata, pemainnya sudah melupakan kekecewaan menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tempat kedua dengan hanya ketinggalan satu mata di belakang Manchester City pada hari terakhir musim, Ahad lalu.

"Tiada yang masih merasakan kesakitan selepas perlawanan Ahad lalu. Kami perlu memandang ke depan untuk menentang lawan lebih kuat, lebih berpengalaman yang anda perlu hadapi dalam kejohanan ini dan kami menantinya," katanya.

Bek tengah, Virgil van Dijk yang tidak bermain untuk Liverpool sejak cedera ketika menewaskan Chelsea di final Piala FA Inggeris pada Ahad lalu, sudah pulih sepenuhnya.

"Yeah, saya sihat, sudah tentu cergas," kata Van Dijk menerusi laman web kelab itu.

"Tiada isu dan sudah tentu teruja untuk perlawanan akhir pada Sabtu ini. Badan saya menikmati sedikit rehat selepas bermain banyak perlawanan, banyak detik tegang dan saya fikir berlaga ketika final Piala FA itu adalah amaran bahawa badan saya memerlukan rehat."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 8:30 AM