PENGURUS Tottenham Hotspur, Antonio Conte (kanan) memeluk pemainnya selepas membelasah Norwich 5-0. FOTO REUTERS
PENGURUS Tottenham Hotspur, Antonio Conte (kanan) memeluk pemainnya selepas membelasah Norwich 5-0. FOTO REUTERS
AFP

Norwich: Antonio Conte mengakui ia adalah hari yang sempurna apabila Tottenham Hotspur membelasah pasukan sudah tersingkir, Norwich, 5-0 pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, malam tadi, untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan.

Spurs menamatkan persaingan dua mata di depan Arsenal dan menyedari seteru di utara London itu menewaskan Everton di Emirates dan mengharapkan anak buah Conte tewas, untuk menafikan tempat keempat liga.

Bagaimanapun, Dejan Kulusevski dan Son Heung-min, yang berkongsi Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, masing-masing menjaringkan dua gol dan kapten England, Harry Kane turut menemui sasaran buat Spurs menjadikan keputusan tidak diragui di Carrow Road.

Hanya beberapa minggu lalu, Conte menyatakan Tottenham memerlukan keajaiban untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, tetapi perancangan perencana dari Itali itu berkesan, sekali gus menamatkan penantian dua musim dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

"Ia adalah hari yang sempurna buat kami," kata Conte kepada BBC.

"Kami layak ke Liga Juara-Juara Eropah dan saya fikir, ia adalah kesempatan sangat baik bagi kelab seperti Tottenham.

"Ia bukan mudah kerana liga di England memang sukar dan banyak pasukan hebat. Layak ke Liga Juara-Juara Eropah bermakna kami melakukan tugasan dengan unggul."

Conte menegaskan keyakinannya terhadap kemampuan Spurs tidak pernah pudar dengan menyatakan: "Sembilan perlawanan lalu, saya memberi penjelasan kepada pemain dan media. Saya menyatakan sekarang kami bersedia akan dan akan berjuang hingga ke akhirnya. Ia adalah detik paling sesuai."

Ditanya sama ada pencapaian meletakkan Spurs dalam kelompok kelab elit di Eropah sebagai antara pencapaian terhebatnya, Conte yang berpengalaman membimbing Juventus, Chelsea dan Inter Milan serta pasukan kebangsaan Itali, berkata: "Saya fikir begitu."

Conte, 52, yang membimbing Spurs selepas Nuno Espirito Santo dipecat pada November lalu berkata: "Sejujurnya, bukan mudah tampil bersama pasukan di pertengahan musim.

"Bagi saya, ia adalah cabaran hebat, mungkin paling hebat dalam karier saya. Saya cukup puas hati. Saya mahu berterima kasih kepada staf dan pemain.

"Jika kami mampu mencapai pencapaian sehebat ini, ia adalah kerana semua orang memberikan segala-galanya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 9:26 AM