PEMAIN sayap Liverpool, Sadio Mane termenung sambil memegang trofi Piala Liga. FOTO REUTERS
PEMAIN sayap Liverpool, Sadio Mane termenung sambil memegang trofi Piala Liga. FOTO REUTERS
Agensi

Liverpool: Sadio Mane kelihatan muram di atas bas tanpa bumbung ketika pemain dan pegawai Liverpool disambut penyokong mereka.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu berarak bersama trofi Piala Liga dan Piala FA yang dimenangi mereka di sekitar bandar Liverpool, hari ini.

The Reds tewas 0-1 kepada Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah di Stade de France, Paris, Sabtu lalu.

Tetapi, di sebalik kekecewaan itu, Liverpool tetap disambut meriah penyokong mereka bersama dua piala domestik itu dan impian mencipta sejarah merangkul empat piala musnah.

Namun, pada ketika pemain lain kelihatan gembira, Mane pula seolah-olah sedang memikirkan sesuatu dan bintang Senegal itu dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich selepas enam tahun bersama Liverpool.

Dia enggan bercerita mengenai perkara itu sebelum final, tetapi kini khabar angin mengenai masa depannya bertiup kencang.

Wartawan Itali, Fabrizio Romano mendedahkan Mane akan memberitahu pihak atasan Liverpool bahawa dia mahu meninggalkan Anfield pada musim panas ini.

Kontrak pemain berusia 30 tahun itu masih berbaki setahun bersama Liverpool dan dia dikatakan mahukan cabaran baharu.

Bayern dikatakan berminat mendapatkan Mane, tetapi setakat ini belum bertindak kerana dipercayai menghormati pembabitan Liverpool di final Liga Juara-Juara Eropah.

Menjelang final itu, Klopp membayangkan Mane mungkin meninggalkan pasukan pada hujung musim.

Beliau berkata: "Ini adalah masa salah untuk bercakap mengenai perkara ini.

"Pasukan mana akan diwakili Sadio pada musim depan, dia akan menjadi pemain penting. Sudah tentu."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 12:45 PM