ARAUJO menerima rawatan. FOTO Reuters
ARAUJO menerima rawatan. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan dua gol ketika Barcelona mengukuhkan cengkaman mereka di tangga kedua La Liga apabila meraih kemenangan 3-1 ke atas Celta Vigo, hari ini.

Bagaimanapun kemenangan Barca dibayangi oleh kecederaan serius di kepala dialami pemain pertahanan, Ronald Araujo pada minit ke-64 perlawanan yang terpaksa dikejarkan ke hospital.

Araujo diusung menaiki ambulans dengan memakai pendakap leher. Barcelona mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu mengalami gegaran otak dan dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan lanjut.

Selepas perlawanan itu, jurulatih Barca Xavi Hernandez berkata: "Doktor memberitahu kami dia sedar. Dia akan di tahan di hospital tetapi dia selamat daripada situasi lebih buruk.

"Doktor berkata kami tidak perlu risau mengenainya. Dia ditahan di hospital sebagai langkah berjaga-jaga."

Kecederaan Araujo berlaku selepas dia bertembung dengan Gavi apabila masing-masing mencabar bola. Araujo kemudian terjatuh sebelum beberapa pemain segera meminta rawatan lanjut.

Mengulas perlawanan berkenaan, Xavi berkata: Kami efektif tetapi tidak bermain dengan baik. Ia lebih mudah menentang 10 pemain tetapi kami bergelut menentang 11 pemain."

Barca selesa dengan kelebihan tujuh mata berbanding Sevilla dan lapan mata mengatasi Atletico Madrid.

Real Madrid yang sudah pun dinobatkan sebagai juara, berada sembilan mata di depan skuad bimbingan Xavi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 7:03 AM