ISAMARA dan Joao Victor. - DM
ISAMARA dan Joao Victor. - DM
Agensi

Campinas (Brazil): Seorang lelaki bersenjata mengambil kesempatan kemeriahan sambutan Tahun Baru untuk menyerbu masuk ke sebuah rumah dan membunuh 11 orang termasuk bekas isteri serta anak lelakinya berusia lapan tahun sebelum menembak dirinya sendiri di kepala di sebuah bandar di tenggara Brazil.

Menurut polis, Sidnei Rami de Araujo, 46, dilaporkan berbuat demikian kerana berang tidak dapat menerima perpisahan dengan bekas isterinya,

Tiga mangsa dirawat di hospital sementara empat lagi terselamat dalam serangan itu tanpa sebarang kecederaan.

Seorang mangsa dilaporkan berjaya melarikan diri ke dalam bilik air dan menghubungi pihak polis ketika kejadian itu berlaku di sebuah rumah di bandar Campinas, Sabtu lalu.

Menurut mangsa, kejadian berlaku sejurus sebelum detik tengah malam menandakan masuknya tahun baru.

Araujo melompat menerusi pagar dan masuk ke rumah sebelum melepaskan tembakan ke arah tetamu.

Polis berkata, Araujo mungkin cuba mengambil kesempatan daripada kemeriahan sambutan malam Tahun Baru untuk melakukan serangan itu.

Malah, seorang jiran mengakui dia sekeluarga terdengar bunyi tembakan yang disangka sekadar bunga api sehingga seorang mangsa yang cedera melarikan diri ke rumah mereka untuk meminta pertolongan.

Christiano Machado berkata: “Saya membuka pagar rumah untuk keluar ke jalan raya bagi melihat bunga api apabila seorang mangsa yang berlumuran darah berlari ke arah saya dan meminta pertolongan.”

Araujo yang juga juruteknik makmal itu dikatakan menggunakan pistol dalam kejadian tembakan berkenaan, selain turut membawa peluru tambahan, pisau dan sejenis bahan letupan ketika serangan.

Selain itu, penyiasat turut menganalisis telefon bimbit dan perakam audio yang dijumpai di dalam keretanya bagi menentukan sama ada Araujo meninggalkan sebarang mesej mengenai serangan itu.

Menurut polis, mereka masih belum mengenal pasti sama ada Araujo mempunyai sejarah melakukan keganasan atau pernah mencedera dan mengugut isterinya sebelum serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 7:39 AM