IFEDAYO (kiri) ledak dua gol bantu Melaka benam Kedah. FOTO Ihsan Melaka United
IFEDAYO (kiri) ledak dua gol bantu Melaka benam Kedah. FOTO Ihsan Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pengurusan Melaka United (MU) lega selepas pemenang Kasut Emas musim lalu Ifedayo Olusegun meleraikan kemarau jaringan selepas meledak dua gol membantu pasukan terbabit menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 3-2 di Alor Setar malam tadi.

Pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, dua gol terbabit satu permulaan positif buat Ifedayo untuk tampil lebih berbisa dalam aksi perlawanan selepas ini.

Katanya, kebimbangan pengurusan berikutan ketandusan jaringan kian terhakis selepas penyerang kelahiran Nigeria itu mula menyerlahkan taring sebenar sebagai penggempur digeruni.

Malah aksi malam tadi antara yang terbaik pemain itu yang bergandingan bersama rakan sepasukan ketika reputasi gahnya sentiasa dinanti dengan penuh debar.

"Apapun, sentuhan cemerlangnya turut menamatkan kerunsingan peminat yang bimbang dia tenggelam dengan skuad berkenaan kali ini. Justeru kami amat mengharapkan Ifedayo terus meledak jaringan demi jaringan untuk membantu kecemerlangan pasukan.

"Dalam masa sama saya juga yakin prestasi pasukan akan terus lebih mantap selepas mengutip dua kemenangan berturut-turut di pentas Liga Super setakat ini bermula dengan kejayaan menewaskan Sri Pahang dua minggu lalu," katanya.

Beliau berkata, sekalung tahniah kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan kerana berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi selepas ketinggalan dua kali sebelum menambah jaringan kemenangan pada penghujung saingan sekali gus memperbaiki kedudukan di carta liga.

Sehubungan itu, dia juga mahu kesemua pemain mengekalkan momentum berkenaan termasuk menjelang aksi berdepan PJ City pada pusingan kedua Piala FA pada 14 Mei depan.

Akram berkata, jika prestasi sama diulangi tidak mustahil hasrat untuk menewaskan PJ City mampu menjadi kenyataan selepas tewas kepada lawan sama pada aksi pembukaan Liga Super.

Baginya, perlawanan terbabit juga menjadi pentas menebus kekecewaan selepas kecundang lawan ketika reputasi hebat skuad Hang Tuah tercalar dengan keputusan mengejut berkenaan.

Bagaimanapun, Akram enggan pemain alpa dalam aksi terbabit kelak walaupun dua perlawanan terakhir mereka bermain begitu baik di gelanggang lawan kerana PJ City juga kian memiliki persefahaman yang lebih jitu selepas cemerlang pada aksi liga setakat ini.

Sebaliknya, dua kemenangan berkenaan menjadi pentas buat pasukan untuk terus bermotivasi bagi melepasi saingan pusingan kedua yang menjanjikan pertembungan lebih getir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 2:31 PM