ABRAHAM meraikan jaringannya. FOTO EPA
ABRAHAM meraikan jaringannya. FOTO EPA
AFP

Rom: Tammy Abraham memastikan Roma ke final sulung Liga Konferensi Europa menerusi agregat 2-1 selepas meledak gol tunggal ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Leicester City pada aksi separuh akhir kedua, hari ini.

Abraham menanduk masuk bola minit ke-11 di Stadio Olimpico di Rom sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Jose Mourinho ke final kejohanan Eropah pertama mereka selepas lebih tiga dekad.

Mereka menanti Feyenoord di ibu kota Albania, Tirana pada 25 Mei selepas pasukan Belanda itu menang menerusi agregat 3-2 ke atas Marseille dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Selepas perlawanan, Roma mengumumkan tiket untuk perlawanan final akan diedarkan secara percuma kepada pemegang tiket musim, ganjaran untuk sokongan luar biasa yang ditunjukkan kepada pasukan yang kini menduduki tempat kelima Serie A.

"Sebelum perlawanan bermula, penyokong memenangi perlawanan ini untuk kami. Kami belum berada di atas padang tetapi sudah mula mendengar sokongan mereka.

"Kemenangan ini adalah untuk mereka dan pasukan saya. Saya harap kami dapat menjuarainya," kata Abraham yang meledak gol ke-25 dirinya musim ini.

Roma tidak memenangi sebarang trofi sejak tahun 2008 dan kemenangan ke atas skuad kendalian Brendan Rodgers mencetus harapan buat penyokongnya untuk menamatkan kemarau kejuaraan pasukan.

"Mereka beraksi lebih baik di babak pertama walaupun tidak banyak peluang dicipta. Kami bangkit di babak kedua tetapi gagal menghasilkan sesuatu. Masalah utama kami musim ini adalah situasi bola mati," kata Rodgers.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 9:12 AM