KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson. FOTO Reuters
KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson. FOTO Reuters
AFP

JORDAN Henderson mengakui Liverpool mengambil jalan susah untuk mengesahkan tempat di final Liga Juara-Juara selepas dipalit kekalahan 2-4 kepada AS Roma pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang lawan, awal pagi tadi.

Memiliki kelebihan 5-2 secara agregat berikutan kemenangan pada aksi pertama di Anfield, Liverpool tampak berada di landasan untuk mara apabila mendahului 2-1 berakhir permainan babak pertama di Stadium Olimpik.

Tetapi, Roma yang mencipta kebangkitan menakjubkan dengan menyingkirkan Barcelona di suku akhir, sekali lagi hampir melakukan keajaiban yang sama apabila meledak tiga gol pada babak kedua sebelum kecundang dengan agregat 6-7.

Henderson yang juga kapten pasuka akur Liverpool mara dengan cara yang lebih susah daripada sepatutnya meskipun skuad kendalian Jurgen Klopp itu berjaya menempah aksi final menentang penyandang juara, Real Madrid di Kiev, Ukraine pada 26 Mei ini.

“Malangnya, kami tidak melakukannya dengan cara yang mudah. Kami boleh bermain dengan lebih baik pada perlawanan ini tetapi akhirnya kami berjaya ke final,” kata Henderson kepada BT Sport.

“Secara keseluruhan kami mengawal situasi ini dengan baik hinggalah 10 minit terakhir. Kami perlu berhenti melakukannya tetapi saya lega kami berada di final.

“Kami tahu kepentingan untuk menjaringkan gol dan mendapatkannya di awal permainan. Ia adalah usaha yang cukup menakjubkan.

“Kami mempunyai satu lagi perlawanan penting pada minggu ini menentang Chelsea dan kemudian kami akan melawan Real Madrid di final. Kami akan ke sana dengan keyakinan.”

Liverpool menghasilkan 46 gol dalam 14 perlawanan Liga Juara-Juara (termasuk kelayakan) pada musim ini sekali gus mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh Barcelona pada 1999-2000 selepas mengharungi 16 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 5:55 AM