Brad Maloney. FOTO File NSTP
Brad Maloney. FOTO File NSTP
Syazwan Msar mohd


Kuala Lumpur: Seramai 25 pemain dipanggil pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Brad Maloney untuk menyertai kem latihan pusat Fasa Dua, bermula Isnin depan sebagai persiapan menghadapi perlawanan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Maloney mengekalkan 16 daripada 27 pemain daripada Fasa Satu untuk meneruskan latihan pusat bagi Fasa Dua ini.

Mereka adalah tiga penjaga gol iaitu Firdaus Irman Fadhil, Azri Ab Ghani dan Syed Nasrulhaq Syed Bidin, Azrin Afiq Rusmini, selain Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Zaaim dan Khairi Suffian Khaineyusri.

Turut tersenarai adalah pemain Selangor II, T Saravanan, Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan, Firdaus Ramli, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Chia Ruo Han, Alif Abdul Mutalib, Shafi Azswad Sapari, Syafik Ismail dan Azhad Harraz Arman.

Empat lagi pemain terdiri daripada mereka yang disenaraikan pada Fasa Satu sebelum ini namun tidak dapat menyertainya ketika itu iaitu penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Hairiey Hakim Mamat, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri dan Aiman Afif Md Afizul.

Baki lima pemain baharu yang dipanggil bagi melengkapkan senarai ke kem latihan pusat kali ini adalah Ahmad Zikri Mohd Khalili, Aidil Azuan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azam Azmi Murad dan K Thivandaran.

Skuad kendalian Maloney akan menjalani latihan pusat Fasa Dua di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sebelum skuad akhir 23 pemain dijadual terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober.

Sementara itu, khidmat empat pemain skuad Harimau Malaya iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, 20, (Selangor FC), Hakimi Abdullah, 22, (Terengganu FC); Quentin Cheng, 22, (Penang FC) dan Luqman Hakim Samsudin, 19, (KV Kortrijk) turut ditagih dalam usaha membentuk pasukan mantap.

Mereka akan menyertai skuad B-23 kebangsaan sebaik selesai tugasan bersama skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe bagi dua Perlawanan Antarabangsa bertemu Jordan dan Uzbekistan.

Mengikut rekod, pasukan negara diundi dalam Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar itu nanti dengan aksi pembukaan bertemu Laos pada 25 Oktober.

Diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia tiga hari kemudian dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:10 PM