PENJAGA gol Real Madrid, Thibaut Courtois berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang Chelsea. FOTO Reuters
PENJAGA gol Real Madrid, Thibaut Courtois berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang Chelsea. FOTO Reuters
Reuters

London: Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois berkata, dia letih dengan kritikan tidak adil yang dilemparkan terhadap kelab berkenaan.

Real kini selesa mendahului La Liga Sepanyol dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah apabila bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mengatasi Paris St Germain.

"Saya rasanya selalu sama apabila orang ramai sangsi dan mempersoalkan Real Madrid walaupun selepas saat terbaik kami," kata Courtois pada sidang media, semalam, pada ketika pasukannya bersiap untuk bertemu Chelsea di aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, hari ini.

"Kami yakin sepenuhnya dengan kemampuan pasukan dan bersedia membuktikan nilai sebenar kami apabila menentang Chelsea."

Courtois adalah wakil tunggal Real yang hadir untuk bercakap dengan media selepas jurulatih, Carlo Ancelotti tidak dapat bersama pasukan ke London kerana positif Covid-19.

Anak lelakinya yang juga penolong ketua jurulatih, Davide Ancelotti akan berada di bangku simpanan memberi arahan kepada pemain di Stamford Bridge.

"Kami tahu bagaimana Ancelotti mahu kami bermain, terdapat barisan jurulatih yang hebat dan dia memberi arahan menerusi panggilan video," kata Courtois.

"Sudah pasti ada perbezaan apabila dia berada di bangku simpanan atau tidak, tetapi minggu lalu barisan kejurulatihan bertindak cemerlang dan saya fikir tiada masalah buat mereka di London."

Courtois adalah penjaga gol utama Chelsea selama empat musim sebelum dia menyertai Real Madrid pada 2018.

Menurutnya, dia bersimpati terhadap penyokong serta pemain bekas kelabnya itu selepas pemilik, Roman Abramovich, mahu menjualnya berikutan dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain akibat serangan Rusia ke atas Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 9:43 AM