SALGADO bersama bola Piala Dunia 2022 (Al-Rihla). -FOTO Wan Asrudi Wan Hassan
SALGADO bersama bola Piala Dunia 2022 (Al-Rihla). -FOTO Wan Asrudi Wan Hassan
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan


Doha, Qatar: Legenda bola sepak Sepanyol dan Real Madrid, Michel Salgado berpendapat sukan bola sepak kembali menyatukan dunia menerusi penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar hujung tahun ini.

Salgado, 46, pemain pertahanan yang berpengalaman luas beraksi di Eropah berkata seperti peminat dan pemain bola sepak lain dia turut teruja menanti saingan pusingan akhir temasya bola sepak terbesar yang julung kali diadakan di negara itu.

"Sememangnya perkara yang cukup menarik menantikan saingan Piala Dunia kerana ia antara detik paling hebat sebagai pemain ketika mewakili negara anda dan ia antara pertandingan terbaik membabitkan pasukan kebangsaan.

"Lebih istimewa kali ini apabila pertama kali membabitkan Qatar iaitu sebuah negara Islam. Selain beraksi sebagai tuan rumah Qatar juga boleh dikatakan mewakili negara Islam seluruh dunia.

"Saya tahu negara Islam begitu meminati bola sepak kerana pernah berada di Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia mereka juga sangat meminati bola sepak.

"Ini adalah sebahagian daripada keistimewaannya kerana bola sepak adalah mengenai penyokong. Kita sangat jelas mengenai situasi Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Bola sepak tanpa penyokong bagaikan tak lengkap.

"Saya pasti FIFA dan Qatar akan bersedia menjadikan penganjuran Piala Dunia 2022 sebagai kejohanan yang meninggalkan memori cukup indah buat semua." katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran bola Piala Dunia 2022 (Al-Rihla) di sini, hari ini.

Ditanya mengenai jangkaan pasukan mana yang bakal menjulang gelaran 'raja' bola sepak dunia itu, Salgado memberitahu persaingan kejohanan agak sengit dan sukar dijangka.

"Terdapat beberapa pasukan pilihan antaranya Perancis kerana mereka penyandang gelaran. Pasukan ini memiliki kekuatan dari segi fizikal dan mental selain bersandar pengalaman beberapa pemain seperti Karim Benzema dan Antoine Griezmann yang berpengalaman memenangi Piala Dunia.

"Perancis adalah antara pasukan pilihan yang berpeluang merebut gelaran. Jerman pula pasukan yang sentiasa kuat.

England juga beraksi dengan baik malah tidak ketinggalan Brazil dan Argentina yang sentiasa menjadi perhatian di Piala Dunia. Ia sememangnya sukar diramal mungkin juga kejutan dari wakil negara Afrika seperti Cameroon yang beraksi baik dan mampu mengejutkan lawan mereka." kata Salgado.

Ditanya mengenai kemampuan pasukan muda Sepanyol yang dibimbing Luis Enrique, Salgado berkata pasukan itu turut mempunyai kelebihan tersendiri.

"Sudah pasti Sepanyol mempunyai kekuatan bersandarkan barisan pemain muda berbakat mereka yang pasti mampu mengatasi mana-mana pasukan.

"Bagaimanapun ia tetap bergantung pada suasana dan pengalaman mereka ketika mengharungi kejohanan besar." katanya yang kini menceburi bidang kejurulatihan dan menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 12:59 PM