LOEW (tengah) baharui kontrak selama dua tahun lagi. -Foto AFP
LOEW (tengah) baharui kontrak selama dua tahun lagi. -Foto AFP
AFP

DORTMUND: Joachim Loew memperbaharui kontraknya sebagai ketua jurulatih Jerman sehingga 2022, umum Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), hari ini. 

Sejak dilantik sebagai jurulatih pada 2006, Loew, 56, yang membawa Jerman menjulang trofi Piala Dunia 2014 mengikat kontrak selama dua tahun lagi sehingga Piala Dunia 2022 di Qatar. 

Presiden DFB, Reinhard Grindel mengesahkan berita itu ketika mengumumkan senarai pemain Jerman yang akan beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Russia. 

Beliau turut memaklumkan kedudukan Oliver Bierhoff sebagai pengarah pasukan kebangsaan disambung sehingga 2024. 

"Kami mahu mengucapkan terima kasih kerana terus memberikan kepercayaan kepada kami untuk meletakkan pasukan antara yang terbaik di dunia. Saya secara peribadi gembira dapat bekerjasama dengan individu yang sentiasa memberikan inspirasi," kata Loew. 

Kontrak Loew sepatutnya tamat selepas pusingan akhir Euro 2020 tetapi Grindel menegaskan sebelum ini jawatan pengendali itu tetap selamat tidak kira apa juga keputusan pada kempen Piala Dunia di Russia.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 8:43 PM