Paqueta (kanan) dan Neymar beraksi dalam skuad Brazil. FOTO Agensi
Paqueta (kanan) dan Neymar beraksi dalam skuad Brazil. FOTO Agensi
AFP

Rio De Janeiro: Perancang tengah Lyon, Lucas Paqueta mempertahankan rakan senegara dari Brazil, Neymar selepas penyerang itu diejek berikutan Paris Saint-Germain (PSG) tersingkir saingan Liga Juara-Juara, musim ini.

"Neymar adalah pemain yang hebat, sangat profesional, dengan bakat hebat. Tanpa ragu-ragu dia adalah pemain terbaik dalam pasukan kebangsaan Brazil," kata Paqueta, 24, dalam sidang akhbar di pusat latihan ketika Brazil bersedia menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

"Adalah satu penghormatan untuk dia bersama kami. Apabila saya ada Neymar dalam pasukan, saya rasa lebih kuat, begitu juga dengan rakan sepasukan saya."

Neymar dan rakan sepasukan PSG, Lionel Messi diejek penyokong di Paris sejak kelab itu terkeluar ketika saingan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara apabila dimalukan Real Madrid pada 9 Mac lalu.

Neymar, 30, kini perlu menukar keadaan apabila kembali ke pasukan kebangsaan selepas tidak bermain pada kelayakan Piala Dunia berikutan kecederaan pergelangan kaki.

"PSG disingkirkan, jadi media dan penyokong akan mengkritiknya kerana itu. Tapi dia sedang pulih daripada kecederaan. Dia semakin kuat setiap hari, dan saya rasa dia akan melakukan tugas yang hebat membantu Selecao," kata Paqueta yang menganggap Neymar sebagai mentornya dalam bola sepak.

Brazil sudahpun layak ke Qatar pada November ini, gergasi Amerika Selatan itu akan berdepan Chile pada pagi Jumaat ini dan Bolivia pada Rabu depan bagi aksi terakhir kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 9:14 AM