Neymar (kanan) dan Messi mampu bentuk serangan berbisa di Barcelona. FOTO Agensi
Neymar (kanan) dan Messi mampu bentuk serangan berbisa di Barcelona. FOTO Agensi
Agensi

NEYMAR sudah bersedia untuk kembali ke Barcelona dan mampu membentuk gandingan mantap bersama bintang Argentina, Lionel Messi menurut bekas bintang Camp Nou, Rivaldo.

Neymar penyerang PSG dikaitkan untuk kembali ke kelab Sepanyol itu pada musim panas ini namun perpindahan sukar dicapai sehingga jendela perpindahan dibuka semula.

Dengan Antoine Griezmann dikaitkan sebagai pertukaran ke PSG dalam perpindahan membabitkan bintang kebangsaan Brazil itu.

Barca juga dikatakan berminat mendapatkan bintang Inter Milan, Lautaro Martinez ke Camp Nou ketika kelab itu turut mencari pengganti Luis Suarez yang mengalami kecederaan berpanjangan.

Rivaldo legenda Brazil yang melakukan 256 penampilan buat Barca sepanjang lima tahun di kelab itu percaya Neymar sudah bersedia mengalas cabaran bersama Messi.

“Neymar dan Martinez kini berada dalam radar Barca sebagai pemain yang diburu bagi jendela perpindahan nanti,” katanya.

“Walaupun Martinez seorang pemain bagus, saya fikir hanya Neymar mampu mengisi kesebelasan pemain bersama Messi.

“Dalam beberapa tahun sebelum ini, ramai pemain hebat yang tidak mampu beraksi dengan baik bersama Messi sekali gus gagal mencapai prestasi sebenar.

“Namun, Neymar seperti Suarez adalah sebilangan kecil pemain dalam dunia yang tidak tertekan di atas padang berbekalkan personaliti sendiri.

"Neymar boleh menjadi pilihan selamat untuk kelab berbanding bintang muda Argentina, Martinez, yang mungkin memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun.

“Saya sendiri meminati kualiti dan personaliti yang dimiliki Neymar walaupun sedar ada peminat Barca yang tidak sukakan cara dia meninggalkan kelab sebelum ini.

"Namun, realitinya dia seorang pemain berbeza sekarang dan mampu memberi bantuan yang Messi perlukan untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah."

Neymar beraksi selama empat tahun di Barcelona dari 2013 hingga 2017, memenangi Liga Juara-Juara, dua kejuaraan La Liga dan tiga Piala Raja Sepanyol sebelum melakukan perpindahan mengejut ke PSG.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 1:48 PM