PEDRI ledakan gol pertama Barcelona. -FOTO Reuters
PEDRI ledakan gol pertama Barcelona. -FOTO Reuters
AFP

Paris: Pierre-Emerick Aubameyang meledakkan gol kemenangan ketika Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Galatasaray 2-1 dan menempah tempat ke suku akhir Liga Europa.

Selepas perlawanan pusingan pertama di Camp Nou minggu lalu tamat tanpa sebarang jaringan, Barca yang dibimbing Xavi Hernandez ketinggalan dalam kedudukan agregat pada saingan 16 terbaik apabila Marcao menanduk masuk gol buat Galatasaray mendahului minit ke-28 di Istanbul.

Namun pemain tengah berusia 19 tahun, Pedri menyamakan kedudukan buat pelawat sebelum rehat.

Gergasi Catalan itu beraksi dalam pertandingan peringkat kedua di Eropah buat kali pertama sejak 2004 selepas terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara, mendahului buat kali pertama tiga minit selepas babak kedua bermula.

Aubameyang yang ditandatangani pada Januari lalu selepas kontraknya bersama Arsenal ditamatkan, menerima hantaran dari Frenkie de Jong untuk menjaringkan gol ketujuh buat kelab.

Barcelona kini akan mengalihkan tumpuan mereka untuk aksi Clasico menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu.

"Kami bermain perlawanan dengan personaliti yang besar. Ia satu persembahan yang hebat untuk bangkit melawan di padang seperti ini menentang pasukan yang sangat bagus.

"Mereka tahu bagaimana untuk bertahan menentang kami tapi kami bersabar. Saya gembira dengan pemain saya.

Skuad Xavi kini menghuni tangga ketiga La Liga, 15 mata di belakang pendahulu Real, ketika berhasrat untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 8:17 AM