IRUDIANATHAN (tengah) berkata empat pemain barisan hadapan yang mengalami kecederaan akan digantikan dengan pemain pasukan Piala Belia dan Piala Presiden. FOTO L MANIMARAN
IRUDIANATHAN (tengah) berkata empat pemain barisan hadapan yang mengalami kecederaan akan digantikan dengan pemain pasukan Piala Belia dan Piala Presiden. FOTO L MANIMARAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kemelut berlanjutan berhubung isu tunggakan RM1.7 juta gaji pemain yang melanda pemain skuad The Bos Gaurus kini hampir selesai.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri G Irudianathan berkata, pihaknya akan memastikan isu itu tidak memberi tekanan dan pemain boleh memberi tumpuan untuk mengharungi aksi pertama Liga Perdana Sabtu ini.

"Gaji pemain sebanyak 70 hingga ke 75 peratus sudah diselesaikan dan semuanya berjalan lancar.

"Mungkin selepas pada perlawanan Liga Perdana Sabtu ini kami akan membuat pembayaran yang kedua," katanya pada sidang media di Pejabat PAFA di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas pada isu itu pihaknya berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana membenarkan skuad Perak turun beraksi.

Mengulas lanjut berkenaan perlawanan Sabtu ini, Irudianathan berkata, empat pemain barisan hadapan yang mengalami kecederaan akan digantikan dengan pemain pasukan Piala Belia dan Piala Presiden.

"Disebabkan kita tidak dapat membayar tunggakan RM1.7 juta sebelum ini kami tidak boleh membawa masuk pemain tambahan atau pemain baru.

"Bagaimanapun, kita masih ada pemain pasukan Piala Belia dan Piala Presiden sebagai tenaga tambahan dalam menghadapi Ligs Perdana," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakaria, dilaporkan berkata sekatan yang dikenakan daripada mendaftar pemain baharu tidak menghalang kelab berkenaan daripada mengekalkan lesennya menyertai Liga Malaysia (Liga M) serta diberi kebenaran menurunkan hanya pemain asal yang sudah diluluskan sebelum ini.

Terdahulu, media turut melaporkan sekatan dikenakan ke atas Perak FC oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bagi pengambilan pemain baharu sama ada pemain import mahupun tempatan berikutan isu kegagalan menjelaskan hutang tunggakan gaji RM1.7 juta.

Perak FC akan berentap dengan sembilan pasukan lain iaitu Johor Darul Ta'zim II, Skuad Projek FAM-MSN, Kelantan, Kelantan United, Kuching City, PDRM, Selangor FC II, Terengganu FC II, dan UiTM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 10:37 PM