SAARANI (tengah) pada sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SAARANI (tengah) pada sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Dalam banyak hal biasanya kerajaan negeri tidak lokek untuk memberi sumbangan dan membantu Perak FC," kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau mengulas apabila ditanya pemberita berhubung kecaman daripada warganet dan pelbagai pihak yang menyalahkan kerajaan Perak seolah-olah meminggirkan nasib skuad itu sehingga berdepan kemelut hebat ketika ini.

"Kita kena adil dengan semua jenis sukan yang lain, walaupun saya tahu bola ini adalah sukan diminati ramai tetapi pada waktu sama saya beringat bahawa kita kena menggunakan sebaik mungkin duit rakyat ini untuk tujuan pembangunan.

"Tetapi kita memang tidak lokek untuk membantu Perak FC, cuma kita tidak boleh bagi keseluruhannya (peruntukan)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Saarani menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh membiayai Perak FC yang kini dikendalikan oleh sebuah syarikat Sdn Bhd iaitu Impact Media Communication (IMC).

"Perak FC asalnya dipunyai oleh Pafa (Persatuan Bolasepak Perak) dan sekarang sudah dijual kepada IMC).

"Jadi, kerajaan negeri tidak boleh membiayai syarikat ini, mana boleh kita guna duit kerajaan negeri untuk membiayai perniagaan syarikat," katanya.

Beliau berkata, tidak kurang daripada RM5 juta kerajaan negeri membantu Perak FC tahun lalu.

"Kalau itu dikatakan dalam keadan yang tidak membantu, kita (sebenarnya) dah bagi duit RM5 juta.

"Kita tidak dapat beri komitmen 100 peratus membiayainya kecuali ada beberapa bahagian kita bantu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Pafa menjelaskan pengurusan Perak FC akan berusaha menyelesaikan masalah isu tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri G Irudianathan dilaporkan berkata, pengambilan pemain dalam pasukan hanya akan dibuat selepas isu pembayaran hutang tertunggak itu selesai.

Terdahulu, pasukan terbabit berdepan isu disekat daripada mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta.

Difahamkan hutang berkenaan membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import selain turut berkaitan pembayaran kepada ejen pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 7:55 PM