IRUDIANATHAN (kiri) pada sidang media selepas Kongres Tahunan PAFA Ke-63 di Hotel Impiana. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
IRUDIANATHAN (kiri) pada sidang media selepas Kongres Tahunan PAFA Ke-63 di Hotel Impiana. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menjelaskan pengurusan Perak FC akan berusaha menyelesaikan masalah isu tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri G Irudianathan berkata, pengambilan pemain dalam pasukan hanya akan dibuat selepas isu pembayaran hutang tertunggak itu selesai.

"Dalam jangka masa seminggu atau dua minggu ini kita berusaha selesaikan masalah dalaman yang dihadapi dalam Perak FC.

"Selepas itu mungkin saya akan berbincang dengan beberapa pihak berhubung pengambilan pemain," katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan PAFA Kali-63 di Hotel Impiana di sini hari ini.

Irudianathan berkata, sekiranya pembayaran gagal dibuat pasukan terpaksa menggunakan khidmat pemain sedia ada bagi mengharungi saingan Liga Perdana yang akan bermula 5 Mac depan.

"Satu mesyuarat diadakan bersama pihak Impact Media Communication (IMC) dan beberapa pihak lain termasuk pemain berhubung perkara itu baru-baru ini.

"Ada beberapa perbincangan berlaku bersama beberapa pihak termasuk pemain dan perkara ini diselesaikan secara dalaman.

"Sekiranya kita tidak dapat bayar, mungkin kita tidak dapat pemain baru, maka kita gunakan pemain sedia ada untuk menggerakkan pasukan dahulu," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dua tahun dahulu Perak FC di tubuhkan dan sudah menjadi Sdn Bhd.

"Jadi, PAFA cuma memegang saham dan pengurusan segala-galanya diserahkan kepada Lembaga Pengarah dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC sendiri.

"Kalau hendak dikatakan hutang itu datang daripada PAFA adalah satu berita yang tidak betul, ini kerana Perak FC akan tanggung segala-galanya," katanya.

Katanya, bagaimanapun dalam kemelut isu itu pihaknya mengambil pendekatan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dan menggunakan formula baharu untuk lebih membangunkan pasukan.

Sebelum ini media melaporkan, pasukan Perak FC masih lagi disekat daripada mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta.

Difahamkan hutang berkenaan membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import selain turut berkaitan pembayaran kepada ejen pemain.

Malah, tarikh tutup pendaftaran yang berbaki 10 hari saja lagi menyaksikan agak mustahil skuad Bos Gaurus dapat menyelesaikan hutang berkenaan dalam tempoh terdekat ini sekali gus mereka perlu beraksi dengan pemain sedia ada bagi mengharungi saingan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:30 PM