KEPUTUSAN untuk menjadikan Timor Leste sebagai aksi pemanas badan adalah susulan penarikan diri Brunei daripada aksi kelayakan Piala AFF. FOTO AIZUDDIN SAAD
KEPUTUSAN untuk menjadikan Timor Leste sebagai aksi pemanas badan adalah susulan penarikan diri Brunei daripada aksi kelayakan Piala AFF. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Taring skuad Harimau Malaya tetap akan diasah sebelum turun membuka kempen Piala AFF di Singapura bulan depan apabila pasukan Timor Leste dijangka bakal menguji skuad negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Persekutuan Bolasepak ASEAN dan Persatuan Bolasepak Singapura untuk dilangsungkan di negara itu.

Jelasnya, keputusan untuk menjadikan Timor Leste sebagai aksi pemanas badan adalah susulan penarikan diri Brunei daripada aksi kelayakan Piala AFF yang sepatutnya menentang Timor Leste pada awal bulan depan.

"Selepas Brunei sah menarik diri daripada kempen Piala AFF 2020 sebelum ini, hanya ada satu pasukan yang boleh kita atur aksi persahabatan iaitu Timor Leste.

"Namun, kita perlu dapatkan kelulusan daripada AFF kerana ada syarat untuk mengaturkan aksi persahabatan di Singapura kerana kita masih tidak boleh bermain sini (Malaysia)," katanya.

Saifuddin ditemui ketika menghadiri Majlis Pelancaran Jam Tangan Edisi Terhad Kedua G-Shock x FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sebelum ini, dilaporkan kemungkinan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe tidak dapat mengadakan sebarang aksi persahabatan menjelang sepak mula Piala AFF pada 5 Disember ini.

Situasi itu pastinya perit buat Cheng Hoe yang tidak mempunyai banyak masa mempersiapkan pasukan ketika pemain hanya akan melaporkan diri secara berperingkat ke kem latihan bermula 26 November ini bagi pemain yang tidak di final Piala Malaysia.

Manakala buat kelompok pemain yang beraksi di pentas final Piala Malaysia pula, mereka hanya akan mula menyertai latihan selepas aksi kemuncak pada 30 November sekali gus memberi tamparan hebat buat Cheng Hoe untuk mempersiapkan pasukannya.

Di Singapura nanti, Harimau Malaya yang juga main juara edisi lalu di letakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Laos, Kemboja dan juara bertahan, Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 11:12 PM