RAJA Imran Shah (belakang, tiga dari kiri) bersama barisan pemain skuad Sarawak United.
RAJA Imran Shah (belakang, tiga dari kiri) bersama barisan pemain skuad Sarawak United.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Segala-galanya sudah dijual termasuk kereta dan rumah kerana penangan tunggakan gaji tiga bulan yang tidak dibayar pengurusan Sarawak United.

Itu luahan bekas pemain Sarawak United yang mendakwa tunggakan gaji masih belum lagi dibayar walaupun sudah menggunakan pelbagai cara termasuk merayu kepada pengurusan supaya menyelesaikannya.

Bekas pemain Sarawak United, Raja Imran Shah Raja Amin berkata, janji manis pengurusan Sarawak United untuk melangsaikan hutang terbabit hanya kata-kata kosong apabila sehingga kini mereka masih membisu berkaitan perkara itu.

Malah, katanya, rakannya di pasukan terbabit terpaksa menjual rumah dan meminjam daripada saudara terdekat untuk membeli barangan keperluan termasuklah menyelesaikan hutang bank.

"Kami sudah puas merayu kepada pengurusan dan mengadu kepada semua pihak berkaitan untuk membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

"Sebelum ini, pengurusan Sarawak United berjanji nak selesaikan pada Disember lalu, namun sekarang ini senyap saja.

"Jika keadaan terus terdesak mungkin ada antara pemain terpaksa meminjam daripada Along kerana kesempitan wang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, kecoh di laman sosial apabia beberapa pemain Sarawak United mendedahkan mereka masih mengalami tunggakan gaji sehingga sekarang dengan pembayaran terakhir dibuat pada Ogos lalu.

Mereka mendakwa hanya menerima tiga bayaran sahaja iaitu pada Februari, Mac dan terakhir Ogos dengan lebih buruk lagi ada antaranya sudah empat bulan gaji tertunggak.

Mengikut rekod, Sarawak United sebelum ini tidak diberikan Lesen Kebangsaan untuk menyertai Liga Super 2023 selepas gagal memenuhi keperluan ditetapkan untuk mendapatkan kelulusan.

Selain itu, kelab itu pernah dikenakan denda oleh Persekutuan BolasSepak Antarabangsa (Fifa) susulan tunggakan gaji terhadap bekas pemain mereka iaitu Sandro Da Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 5:51 PM