PEMAIN Senegal meraikan kejayaan memenangi Piala Negara-Negara Afrika baut kali pertama. FOTO Reuters
PEMAIN Senegal meraikan kejayaan memenangi Piala Negara-Negara Afrika baut kali pertama. FOTO Reuters
AFP

Yaounde: Sadio Mane menjaringkan sepakan penalti paling penting ketika Senegal mengatasi Mesir 4-2 pada penentuan penalti untuk memenangi Piala Negara-Negara Afrika buat kali pertama selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan berakhir masa tambahan, hari ini.

Mane menyaksikan Mohamed Abou Gabal menafikan sepakan penaltinya pada minit ke-7 masa sebenar di Stadium Olembe dekat Yaounde tetapi Mesir tidak memanfaatkan kelebihan itu sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Mohamed Salah sepatutnya mengambil sepakan penalti kelima Mesir tetapi selepas sepakan Mohamed Abdelmonem terkena palang serta sepakan Mohanad Lasheen dinafikan Edouard Mendy, bintang Liverpool itu tidak berpeluang untuk melakukannya dan dilihat menitiskan air mata ketika rakan sepasukannya, Mane bersedia mengambil sepakan penalti penentuan.

Selepas tewas dua kali pada aksi final, Senegal akhirnya muncul juara Piala Negara-Negara Afrika manakala Mesir gagal menjulang piala berprestij itu kali kelapan yang juga kali pertama untuk Salah.

"Ia membuktikan jika anda bekerja keras, anda akan memperolehi apa yang dimahukan.

"Saya sangat beremosi kerana rakyat Senegal sememangnya mahukan trofi ini sejak 60 tahun lalu," kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.

Ia adalah final kelima dalam 11 edisi terakhir kejohanan itu yang ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada masa sebenar.

Mesir sebelum ini memenangi dua aksi final menerusi penentuan penalti selepas terikat 0-0 dan mereka juga memenangi dengan cara sama sebanyak dua kali iaitu ketika bertemu Ivory Coast pada pusingan 16 terakhir dan tuan rumah, Cameroon di aksi separuh akhir.

Terdesak untuk memenangi piala itu buat kali pertama selepas tewas kepada Algeria pada final 2019, Senegal mempunyai peluang terbaik untuk mendahului selepas Saliou Ciss dijatuhkan Abdelmonem dalam kotak penalti.

Mane diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti tetapi tendangannya berjaya dinafikan Abou Gabal.

Salah juga mempunyai peluang terbaik tetapi rembatannya berjaya diselamatkan oleh Mendy dan penjaga gol Chelsea itu kemudian sekali lagi menafikan cubaan Salah di hujung babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 7:31 AM