AUBAMEYANG semakin hampir sertai Barcelona. FOTO AFP
AUBAMEYANG semakin hampir sertai Barcelona. FOTO AFP
AFP

Madrid: Barcelona dilaporkan semakin hampir untuk mendapatkan Pierre-Emerick Aubameyang selepas Arsenal bersetuju melepaskan bekas kapten mereka itu secara percuma.

Aubameyang akan menyertai Barcelona menerusi perjanjian selama enam bulan, menurut laporan media Sepanyol dan pilihan lanjutan kontrak selama setahun.

Perpindahan itu tidak perlu diumumkan sebelum jendela perpindahan pemain ditutup kerana Aubameyang adalah ejen bebas.

Barca terus berdepan masalah hutang yang sangat besar dianggarkan bernilai lebih satu bilion euro.

Kelab itu gagal mengekalkan Ousmane Dembele yang kini boleh meninggalkan kelab secara percuma apabila kontraknya berakhir pada musim panas.

Bagaimanapun jika Dembele kekal sekali pun, Aubameyang tetap akan berhijrah ke Barcelona selepas Arsenal bersetuju untuk melepaskan bekas kapten mereka itu secara percuma.

Sementara itu, Aubameyang dipercayai bersetuju mengurangkan gajinya di Arsenal, yang bermula sekitar 300,000 euro (RM1.4 juta) seminggu, untuk memastikan perpindahannya ke Camp Nou menjadi kenyataan.

Xavi Hernandez pastinya berharap kehadiran Aubameyang dapat membantu Barcelona menamatkan saingan La Liga di kedudukan empat terbaik.

Kelab itu ketika ini menduduki tempat kelima, ketinggalan satu mata di belakang Atletico Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 8:16 AM