Dani Alves. FOTO Agensi
Dani Alves. FOTO Agensi
Reuters

Madrid: Dani Alves dijangka tersisih daripada skuad Barcelona bagi peringkat kalah mati saingan Liga Europa ketika jurulatih Xavi Hernandez mengambil keputusan untuk menyenaraikan pemain baharu ditandatangani Ferran Torres, Pierre-Emerick Aubameyang dan Adama Traore, umum kelab itu.

Xavi terpaksa mengetepikan seorang daripada empat pemain yang baharu ditandatangani Barca kerana undang-undang UEFA hanya membenarkan tiga pemain ditambah dalam senarai skuad selepas peringkat kumpulan selesai.

Barcelona akan menentang Napoli pada pusingan ke 32 membabitkan aksi timbal balik pada Februari.

Ketika penyerang mereka, Ansu Fati masih bergelut dengan kecederaan, Xavi terpaksa memberi keutamaan kepada pilihan di barisan serangan tatkala dia sudah mempunyai pilihan mencukupi bagi posisi pertahanan kiri milik Alves.

Alves menjadi tonggak penting Barca ketika menjulang pelbagai trofi utama antara 2008-16, mencapai persetujuan pada November untuk menyertai semula bekas kelabnya itu sehingga hujung musim ini sebagai pemain bebas.

Dia menyertai kelab Brazil, Sao Paulo pada 2019 selepas beraksi bersama Juventus dan Paris St Germain, namun menamatkan kontraknya susulan tidak berpuas hati isu gaji yang tidak dibayar.

Torres, Traore dan Aubameyang kesemuanya tiba pada jendela perpindahan Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 7:42 AM