HAMIDIN harap kenyataannya bukan dianggap sebagai lepas tangan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
HAMIDIN harap kenyataannya bukan dianggap sebagai lepas tangan. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain naturalisasi negara Mohamadou Sumareh bukannya besar kepala hingga mengambil keputusan sewenangnya menolak panggilan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan pada perlawanan Piala AFF 2020 dua bulan lalu.

Sebaliknya, Sumareh yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai perkara penting yang perlu diselesaikan di kampung halamannya di Gambia sekali gus lewat menyertai skuad Harimau Malaya.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin selepas beliau mengadakan pertemuan bersama pemain terbabit dan Tan Cheng Hoe sebelum memutuskan Sumareh diganti Pemain Paling Bernilai (MVP) 2021 Arif Aiman.

"Saya nak jawab sikit isu Sumareh. Saya harap saya punya kenyataan ini bukan dianggap sebagai kenyataan lepas tangan, yang benar tu benarlah. Sumareh berjumpa dengan saya dengan coach Tan (Tan Cheng Hoe) beberapa hari (sebelum kejohanan bermula).

"Selepas itu, Sumareh datang jumpa saya dan coach Tan, dalam perbincangan tu, dia ada nak cakap sesuatu yang penting berkaitan dengan keluarga dia di kampung dia di Gambia. Sesuatu yang personal (peribadi) dengan keluarga dia. Jadi, dia minta boleh tak lewat datang untuk perlawanan kedua, saya ingat, dia boleh sampai. Lebih kurang dalam masa tu la.

"Jadi, saya bincang dengan Tan, saya cakap dengan Sumareh, kalau boleh, kamu kena sertai pasukan dari sekarang. Selepas berbincang, Tan setuju.

"Lepas tu, Tan cakap dengan saya, 'Datuk, kita tak payah ambil dia, kita ambil Arif Aiman," katanya.

Terdahulu, Badan Siasatan Bebas mendapati Sumareh menolak panggilan ke skuad kebangsaan sekali gus menyebabkan Malaysia kekurangan sejumlah besar Core players untuk beraksi di Piala AFF 2020.

Pengerusinya Datuk Dell Akhbar Khan, berkata, FAM sepatutnya menghantar 30 pemain seperti yang dibenarkan pihak penganjur namun perkara terbabit tidak berlaku sekali gus menimbulkan persoalan Badan Siasatan Bebas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 8:31 PM