SUAREZ (kanan) meraikan jaringannya. FOTO EPA
SUAREZ (kanan) meraikan jaringannya. FOTO EPA
AFP

Madrid: Luis Suarez menjaringkan gol pertamanya selepas dua bulan ketika Atletico Madrid mara ke pusingan 16 terakhir Copa del Rey dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Rayo Majadahonda, hari ini.

Suarez mengharungi 10 perlawanan tanpa dapat mencetak gol untuk kelab dan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun bintang Uruguay itu akhirnya meledak gol ketika beraksi di Wanda Metropolitano untuk meletakkan Atletico selesa dengan tiga gol pada babak pertama sebelum Antoine Griezmann dan Joao Felix menambah gol pada separuh masa kedua.

Rayo Majadahonda menduduki tangga keenam di Segunda B iaitu divisyen ketiga Sepanyol dan beraksi di halaman sendiri dekat pusat latihan Atletico di El Cerro del Espino.

Atletico di depan pada minit ke-17 selepas aksi kurang kemas pemain pertahanan, Jorge Casado menyaksikan Matheus Cunha memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

Renan Lodi kemudian menjadikan kedudukan 2-0 minit ke-26 sebelum Suarez menambah gol ketiga minit ke-41.

Griezmann dan Felix yang masuk sebagai pemain gantian menyaksikan kedua-duanya menyumbang gol.

Griezmann melakukan penyudah dengan baik selepas menerima hantaran dari Angel Correa minit ke-67 sebelum Felix melengkapkan kemenangan Atletico dengan gol kelima minit ke-79.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 8:16 AM