BERNAMA

Kuala Lumpur: Laporan lengkap mengenai prestasi skuad kebangsaan pada kempen Piala AFF 2020 baru-baru ini perlu dibuat secara telus demi memastikan Malaysia tidak kempunan beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata laporan telus akan memudahkan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam menetapkan hala tuju baharu skuad Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke kejohanan berprestij itu.

Beliau berkata laporan lengkap tanpa menyembunyikan sebarang fakta amat penting bagi mengetahui sama ada pasukan negara masih berada di landasan tepat atau sebaliknya, selain mengambil maklum segala kekurangan untuk ditangani.

"Semua kena faham keputusan di Piala AFF menunjukkan terdapat kelemahan daripada segenap aspek, jadi semua pihak terlibat perlu menyediakan satu laporan telus untuk jawatankuasa menilai dan membuat tindakan susulan," katanya.

Mohd Yusoff berkata kedua-dua laporan lengkap dari pihak pengurusan dan kejurulatihan akan dinilai secara teliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dipengerusikan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada mesyuarat yang dijadual berlangsung bulan depan.

Beliau yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata fokus utama mesyuarat tersebut adalah mengenal pasti punca kegagalan pasukan negara dalam mencapai sasaran layak ke final Piala AFF 2020 ditetapkan FAM selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Katanya mesyuarat berkenaan turut akan menumpukan terhadap segala faktor penyumbang kepada punca kegagalan dan kelemahan pasukan yang terserlah pada kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 8:04 PM