YUSOFF (dua dari kiri) mengakui terdapat ramai calon yang sedang dipertimbangkan termasuk dari dalam dan luar negara. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Amatur
YUSOFF (dua dari kiri) mengakui terdapat ramai calon yang sedang dipertimbangkan termasuk dari dalam dan luar negara. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Amatur
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Teka teki siapakah jurulatih baharu skuad Harimau Malaya dijangka bakal diketahui hujung bulan ini atau selewat-lewatnya bulan depan apabila selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan hujung bulan ini.

Perkara itu dikongsikan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi apabila mengakui antara agenda mesyuarat itu nanti adalah untuk membincangkan pengganti Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya awal bulan ini.

Jelasnya, laporan daripada hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya akan jadikan panduan bagi memperbaiki kelemahan sekali gus melihat kepada asas pelantikan buat jurulatih baharu.

"Kita akan ada Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan pada bulan ini (hujung bulan selepas menerima laporan dari badan bebas)…kita akan ada .

"Saya ingat masa itu akan ditentukan bila sepatutnya akan umum jurulatih baru, pasal salah satu Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan adalah pelantikan jurulatih baru.

"Jadi saya ingat biar kita tunggu Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan ini bersidang dulu," katanya yang menjelaskan nama calon pengendali baharu itu kemudiannya akan di bawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi mendapat kelulusan.

Sebelum ini, 'kerusi' pengendali skuad Harimau Malaya kosong selepas Cheng Hoe meletakkan jawatannya selepas dikritik hebat peminat bola sepak tempatan susulan kegagalan di Piala AFF di Singapura, bulan lalu.

Menurut Yusoff yang juga pengurus pasukan kebangsaan itu, sememangnya terdapat ramai calon yang sedang dipertimbangkan termasuk dari dalam dan luar negara.

"Kita akan melihat semua kemungkinan, kalau kita lihat di media-media sosial pun ada yang kata jurulatih tempatan baik untuk jangka masa singkat…ada juga pandangan untuk ambil jurulatih luar bagi memastikan pelan jangka panjang kita lebih tersusun.

"Jadi saya fikir akhirnya semua cadangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan Presiden sendiri, dan kemudiannya akan di bawa ke Mesyuarat Exco bagi menentukan jurulatih yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 7:11 PM