RANGNICK (tengah) membimbing sementara Man United. FOTO EPA
RANGNICK (tengah) membimbing sementara Man United. FOTO EPA
Agensi

London: Penjaga gol Manchester United, David de Gea percaya rakan sepasukannya melalui sesi latihan yang keras di bawah bimbingan pengurus sementara, Ralf Rangnick apabila setiap pemain perlu mengerah tenaga dan kepantasan masing-masing.

United menyaksikan dua perlawanan terakhir mereka bertemu Brentford dan Brighton terpaksa ditunda selepas berdepan penularan Covid-19.

Namun barisan pemain Red Devils ketika ini sudah berada di Carrington dan cukup bersemangat untuk menyambung kempen mereka selepas tidak beraksi selama 16 hari.

Man United melalui musim tidak menentu setakat ini dengan Ole Gunnar Solskjaer dipecat susulan prestasi hambar yang mencetuskan kritikan hebat.

Bagaimanapun De Gea percaya barisan pemain mempamerkan peningkatan dan mendapat manfaat daripada sesi latihan sukar Rangnick.

"Sangat bagus apabila kesemua anggota pasukan dapat menjalani latihan bersama dan melihat mereka berada dalam keadaan baik.

"Sudah tentu kami menjalani latihan yang keras ketika sesi latihan. Ia sangat tegang pada setiap sesi latihan di bawah bimbingannya (Rangnick)," kata penjaga gol utama Man United itu di laman web rasmi kelab berkenaan.

Katanya, United sedang menyesuaikan diri dengan kaedah latihan Rangnick selepas beliau dilantik selaku pengurus sementara untuk baki musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 9:36 PM