PJS masih belum menerima sebarang laporan mengenai kongres Pafa. FOTO Agensi
PJS masih belum menerima sebarang laporan mengenai kongres Pafa. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengambil perhatian serius mengenai kenyataan disiarkan sebuah akhbar tempatan berkaitan badan berkenaan mengiktiraf 14 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

PJS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan pihaknya sudah membuat keputusan berkaitan pemecatan 12 ahli gabungan persatuan itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan dan mengiktiraf Kongres Luar Biasa Pafa anjuran 14 ahli gabungan pada Ahad lalu, sebagai tidak tepat.

"Sehingga kini, PJS masih belum menerima sebarang laporan mengenai kongres yang diadakan dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan dalam menentu sah atau mengiktiraf mana-mana pihak dalam menerajui Pafa.

"Adalah wajar PJS meneliti terlebih dahulu laporan berkenaan dan membuat semakan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Namun disahkan bahawa PJS sudah menerima kunjungan daripada Pesatuan Bolasepak Melayu Perak pada 9 Disember 2021 mewakili ahli gabungan Pafa bagi membuat aduan mengenai pemecatan ahli gabungan yang didakwa dibuat tidak mematuhi perlembagaan.

"Dalam hal ini, PJS sudah mengadakan perjumpaan dengan pihak berkaitan pada 20 Disember 2021 bagi mendapatkan penjelasan dan dokumen sokongan bagi menentu sahkan dakwaan yang dibuat," katanya.

Selain itu, PJS juga memberi peringatan supaya pihak berkaitan tidak mengeluarkan kenyataan tidak tepat hingga memburukkan lagi keadaan.

"Adalah disarankan supaya mana-mana pihak bertelagah tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan dan merujuk kepada pejabat ini bagi mendapatkan maklumat yang tepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 5:51 PM