THANALAN (kiri) tekad kembali menyinar selaku penyerang dihormati. FOTO Ihsan Thanabalan.
THANALAN (kiri) tekad kembali menyinar selaku penyerang dihormati. FOTO Ihsan Thanabalan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Bekas penyerang Negeri Sembilan FC (NSFC), N Thanabalan berharap reputasinya selaku penyerang disegani dapat kembali menyinar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selepas berhadapan kekangan untuk mencapai tahap kecergasan terbaik hingga membuatkan dia sering memanaskan bangku simpanan, pemain berusia 26 tahun itu bertekad mahu memastikan sumbangan terbaik dapat diberikan bagi menjulang Sabah FC pada musim depan.

"Saya akui pada musim ini terdapat kekangan dalam membantu pasukan meraih kejayaan berikutan masalah kecergasan.

"Namun kini saya sudah berada pada tahap kecergasan terbaik untuk membantu Sabah mengharungi musim depan.

"Saya berharap dapat kekal dalam barisan kesebelasan utama dan seterusnya membantu menjulang nama Sabah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bekas penyerang skuad bawah 22 tahun negara (B-22) itu mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Sabah FC yang menyambung kontraknya semusim lagi dan dia mahu membuktikan kemampuan sebenarnya selaku pemain yang dihormati ketika beraksi mewakili negara sebelum ini.

"Saya mahu kehadiran bersama Sabah benar-benar memberi impak positif dalam membantu rakan-rakan bagi membina kekuatan baharu kepada pasukan.

"Dalam masa yang sama menjayakan apa juga sasaran dan pencapaian yang ditetapkan pihak pengurusan kelab.

"Itu matlamat sebenar saya bersama pasukan ini musim depan dan berharap saya dapat memainkan peranan proaktif dalam membantu ke arah kejayaan Sabah," katanya.

Nama pemain kelahiran Rantau itu pernah menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 apabila menanduk masuk gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir.

Thanabalan berkata, dia berazam untuk mendapatkan kembali kedudukan selaku penyerang disegani dalam liga domestik itu, selepas reputasinya kebelakangan ini kurang menyerlah.

Justeru, dia berharap dapat beraksi lebih kerap dan mendapat minit permainan yang tinggi sepanjang saingan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 5:47 PM