THANABALAN rasa teruja dan gembira selepas diterima masuk sekali gus memberi peluang kepadanya untuk beraksi dalam Liga M. FOTO NSTP
THANABALAN rasa teruja dan gembira selepas diterima masuk sekali gus memberi peluang kepadanya untuk beraksi dalam Liga M. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas hasratnya untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini tercapai apabila diterima menyertai Sabah FC, N Thanabalan kini bertekad untuk membalas kepercayaan diberikan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).

Bekas penyerang skuad bawah 22 tahun negara (B-22) berusia 26 tahun itu, mahu memastikan kehadirannya dalam pasukan Sabah FC dapat memberi impak positif kepada kekuatan pasukan berkenaan.

"Saya amat menghargai kesediaan Sabah menerima saya sebagai sebahagian daripada anggota dalam pasukan ini dan akan berusaha keras membalas kepercayaan diberikan itu.

"Memang rasa teruja dan gembira selepas diterima masuk sekali gus memberi peluang kepada saya untuk beraksi dalam Liga M musim ini.

"Malah, ternyata ia memberikan semangat kepada saya untuk membantu pasukan Sabah melakar kejayaan cemerlang musim ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut bekas pemain Negeri Sembilan itu, ketika ini fokusnya adalah untuk membentuk keserasian dengan pemain sedia ada dalam pasukan berkenaan, bagi memastikan Sabah mampu memberikan cabaran bermakna dengan pencabar lain.

Pemain kelahiran Rantau Negeri Sembilan itu berkata, biarpun baharu empat hari mengikuti latihan di bawah bimbingan pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, namun dia yakin mampu mencapai tahap prestasi terbaik menjelang aksi pembukaan Liga Super, 5 Mac nanti.

"Saya sentiasa berusaha mengekalkan tahap kecergasan diri biarpun sebelum ini belum tahu pasukan mana disertai, selain tersekat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebagai pemain bola sepak profesional tahap kecergasan elemen paling utama, tambahan pula liga bakal membuka tirainya tidak sampai dua minggu lagi," kata pemain yang beraksi cemerlang bersama skuad negara pada Sukan SEA 201 di Kuala Lumpur.

Thanabalan yang beraksi bersama Perak II musim lalu, berkata sasarannya kini adalah mendapatkan kepercayaan Kurniawan bagi memastikan peluang berada dalam barisan kesebelasan utama pasukan.

"Saya perlu bekerja keras dan memastikan prestasi di tahap terbaik bagi memastikan peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan tidak tersasar," katanya yang bertekad menggunakan pengalaman di pentas antarabangsa bagi membantu Sabah.

Thanabalan antara pemain berbakat yang berjaya dilahirkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila memulakan kerjaya pada 2013 bersama Negeri Sembilan.

Dia kemudian dipinjamkan kepada FELCRA FC bagi mengharungi saingan Liga FAM 2017 dan membantu pasukan berkenaan meraih naib juara sebelum sertai Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 5:01 PM