DAMIEN (kanan) menjadi pemain kedua meninggalkan NSFC. FOTO Ihsan NSFC
DAMIEN (kanan) menjadi pemain kedua meninggalkan NSFC. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Biarpun berjaya membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini, namun penjaga gol pasukan itu, Damien Lim tidak kekal dalam skuad berkenaan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sebaliknya, pemain berusia 24 tahun itu memilih pasukan Sabah FC sebagai majikan baharunya.

Menurut Damien, dia perlu membuat keputusan yang cepat sebaik kontraknya bersama NSFC berakhir 30 November lalu.

"Apabila Sabah menawarkan kontrak untuk bersama mereka, saya tidak menunggu lama untuk membuat keputusan dan terus bersetuju bermain dengan pasukan itu.

"Tambahan pula pihak pengurusan NSFC memberi ruang kepada mana-mana yang ingin berhijrah ke pasukan lain sebaik kontrak mereka berakhir.

"Saya fikir, Sabah juga sebuah pasukan yang mantap dan berwibawa di bawah bimbingan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee, dan ia sekali gus dapat memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan bimbingan sempurna dalam usaha meningkatkan lagi prestasi," katanya hari ini.

Sepanjang musim ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu antara tonggak utama NSFC apabila mendapat kepercayaan ketua jurulatih, K Devan dan diberikan tugas selaku penjaga gol utama mengambil alih tempat daripada Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Bekas pemain skuad Bawah 22 tahun negara itu bertekad untuk meneruskan sumbangan terbaik kepada Sabah sepanjang musim depan terutama dalam membantu merealisasikan apa juga sasaran yang ditetapkan pasukan berkenaan.

"Saya berharap dapat kekalkan prestasi terbaik sepanjang musim dan membantu Sabah memenangi trofi," katanya.

Sementara itu, pemain tengah NSFC, R Barathkumar mengesahkan sudah bersama pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC bagi saingan musim depan.

"Saya memilih pasukan lama (PJ City) untuk meneruskan perjuangan dalam Liga M dan berharap dapat memberikan sumbangan terbaik demi membantu pasukan bersaing dalam Liga Super musim depan," katanya yang memaklumkan akan menandatangani kontraknya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 1:39 PM