MENDOAKAN kesejahteraan keluarga. FOTO Instagram
MENDOAKAN kesejahteraan keluarga. FOTO Instagram
STATUS yang di muat naik di laman sosial. -FOTO Instagram
STATUS yang di muat naik di laman sosial. -FOTO Instagram
Oleh Firdaus Hashim


Singapura: Walaupun jauh berbatu, bencana banjir yang melanda negara tetap dirasai skuad Harimau Malaya yang kini berada di Singapura bagi kempen Piala AFF.

Menerusi perkongsian di laman sosial oleh beberapa pemain negara, banjir besar yang melanda sebahagian Lembah Klang serta beberapa negeri turut memasuki kediaman ahli keluarga hingga menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan mereka.

Antara yang berkongsi detik sukar itu adalah penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang mendoakan agar keluarganya di Kuantan, Pahang tabah menghadapi ujian itu.

"Ya Allah permudahkan segala urusan keluarga di Kuantan," tulisnya di Story Instagram miliknya berserta gambar rumah yang mula dinaiki air.

Doa sama turut di titipkan pertahanan kebangsaan, Syahmi Safari yang berasal dari Kuala Selangor itu.

Kata bekas pemain Red Giants itu, diharapkan semua pihak bersabar dan dipermudahkan segala urusan.

"Semoga dipermudahkan segala urusan ahli keluargaku dan semua yang menghadapi musibah banjir ini," kata Syahmi.

Terdahulu, hujan lebat yang turun sejak kelmarin menyaksikan lima negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka dilanda banjir.

Difahamkan, hujan yang turun tanpa henti hingga menyebabkan banjir ekoran Lekukan Tropika membadai selatan Filipina apabila fenomena berkenaan mengukuhkan angin timur laut bertiup dengan membawa lembapan tinggi di kawasan pantai timur dan merentasi Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 12:23 PM