KHUZAIMI (kanan) kini menjalani latihan bersama Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF, hujung bulan ini. FOTO FB FAM
KHUZAIMI (kanan) kini menjalani latihan bersama Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF, hujung bulan ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC, Ahmad Khuzaimi Piee menganggap usahanya untuk kembali mencipta nama musim ini berbaloi selepas tercalon untuk memburu gelaran Pertahanan Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).

Khuzaimi bersaing sengit dengan dua lagi calon dari Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Shahrul Saad serta Corbin-Ong dan ini adalah kali pertama pemain berasal dari Melaka itu tersenarai dalam pencalonan tiga terbaik.

Bagi Khuzaimi, musim 2022 adalah musim terbaik untuknya selepas berdepan karier mencabar sebelum ini.

Sudah tentu, ia bukan mudah untuk meraih trofi Pertahanan Terbaik apabila bersaing sengit dengan dua calon yang meraih kejuaraan Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Sebenarnya, saya tidak sangka boleh tercalon tiga terbaik kerana sebelum ini ramai lagi yang hebat tetapi sekarang saya macam tidak percaya.

"Peluang nak menang saya tidak kisah sangat sebab saya tahu Corbin dengan Shahrul memang beraksi cemerlang dalam liga.

"Paling penting saya nak ucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan Negeri Sembilan dan pemain sebab beri saya peluang beraksi dan tahun ini memang rasa puas sangat.

"Insya-Allah saya akan terus berikan persembahan yang baik dalam setiap perlawanan dan Alhamdulillah untuk pencalonan ini," jelasnya.

Sementara itu, Shahrul pastinya mengidam trofi ketiganya selepas pernah memenangi gelaran Pertahanan Terbaik dua tahun berturut-turut pada 2018 dan 2019.

Pada musim 2020, anugerah itu dimenangi Aidil Zafuan Abd Radzak (JDT) manakala Matthew Davies (JDT) memenanginya pada tahun lalu.

Manakala Corbin Ong tentu dalam misi untuk memburu trofi pertama selepas menampilkan prestasi memberangsangkan untuk membantu pasukan meraih kejuaraan 'Quadruple' musim ini.

ABK22 akan berlangsung secara virtual pada 9 malam Khamis depan apabila 16 kategori dipertandingkan.

Anugerah dipertandingkan ialah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Premier, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik turut diiktiraf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 7:08 PM