BOJAN Hodak meraikan kejayaan selepas pasukannya menumpaskan Johor Darul Ta'zim di final Piala Malaysia. FOTO Aizuddin Saad
BOJAN Hodak meraikan kejayaan selepas pasukannya menumpaskan Johor Darul Ta'zim di final Piala Malaysia. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City) dianggap sebagai jurulatih paling gila apabila berani membawa perubahan besar dalam pasukan hingga berjaya menjulang Piala Malaysia hanya dalam tempoh setahun saja.

Perkara itu dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard Stephen Samuel yang melihat kreativiti dan idea dimiliki Hodak mampu mengawal situasi 'kritikal' termasuk memastikan pemain bebas daripada dipengaruhi anasir luar.

Stanley berkata, beliau bersama Hodak merancang membentuk pasukan mantap dalam tempoh tiga tahun dengan merangka strategi supaya Kuala Lumpur dapat menjulang piala pada 2023.

Namun, kerja gila yang dilakukan oleh Hodak dengan bertindak sebagai ahli psikologi dan pada masa sama menjaga keharmonian bilik persalinan mampu membawa kejayaan kepada pasukan dalam tempoh setahun saja.

"Hodak ini memang gila kerana pemikirannya lain dan boleh saya katakan beliau adalah jurulatih terbaik di negara ini.

"Beliau juga boleh dikatakan sebagai 'jeneral manager' kepada saya kerana bukan saja bertindak sebagai jurulatih namun juga pandai menggunakan pendekatan psikologi kepada pemain," katanya.

Selain itu, Stanley yang pernah beraksi sebuah kelab profesional dari India, Sporting Clube de Goa mengakui selama 32 tahun, Kuala Lumpur dipengaruhi politik menyebabkan pasukan agak terumbang ambing.

"Semua tahu Kuala Lumpur adalah kelab politik dan saya cuba untuk menghentikan perkara terbabit. Paling penting adalah melindung bilik persalinan dan terus memastikan keharmonian antara pemain," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Kuala Lumpur berjaya mengahiri penantian 32 tahun bergelar juara Piala Malaysia dengan menundukkan JDT 2-0.

Gol berkenaan berjaya dijaringkan pemain sayap Kuala Lumpur, Zhafri Yahya sebelum Paulo Josue menambah derita JDT untuk jaringan kedua skuad The City Boys.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 8:26 PM