BOJAK Hodak (tengah) meraikan kejayaan KL City bersama Zhafri (kanan). FOTO Aizuddin Saad
BOJAK Hodak (tengah) meraikan kejayaan KL City bersama Zhafri (kanan). FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), FC Bojan Hodak mengakui memimpin skuad The City Boys adalah tanggungjawab paling sukar pernah dilakukannya sepanjang mengendali pasukan bola sepak.

Ini kerana, skuad bimbingannya rata-rata dibarisi pemain kurang terkenal dan hanya mempunyai dua tonggak mewakili pasukan kebangsaan.

Beliau berkata, walaupun pernah memimpin Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) hingga mengecapi beberapa kejayaan sebelum ini, namun pasukan itu dibarisi pemain ternama dan hebat.

Katanya, kunci kejayaan sebenar bagi pasukan Kuala Lumpur adalah semangat kekeluargaan selain sentiasa menjaga keharmonian di bilik persalinan bagi mengelak pemain hilang fokus.

"Ini adalah tanggungjawab paling sukar saya pernah hadapi kerana ketika di Kelantan dan JDT, mereka mempunyai ramai pemain yang hebat.

"Namun, di Kuala Lumpur pula hanya ada satu atau dua pemain kebangsaan saja namun mereka cukup rajin.

"Selain itu, suasana di bilik persalinan cukup harmoni tanpa ada sebarang gangguan dan mereka juga memberikan Kerjasama cukup baik. Suasana ini membantu kejayaan pasukan," katanya.

Pada perlawanan final Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Kuala Lumpur berjaya mengahiri penantian 32 tahun apabila menundukkan JDT 2-0.

Gol berkenaan berjaya dijaringkan pemain sayap KL City, Zhafri Yahya sebelum Paulo Josue menambah derita JDT untuk jaringan kedua untuk skuad The City Boys.

Sementara itu jelas Bojan, antara rahsia kejayaan pasukan Kuala Lumpur menjulang Piala Malaysia adalah memastikan 30 minit pertama perlawanan tidak dibolosi gol.

"Saya katakan kepada pemain kunci kejayaan malam ini (semalam) adalah kekal seri pada 30 minit pertama perlawanan dan kita akan menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 4:58 PM