AKSI tanpa penyokong juga menyebabkan peminat Melaka yang ingin memberi sokongan juga terpaksa menutup hasrat ke Cheras. FOTO SYAFEEQ AHMAD
AKSI tanpa penyokong juga menyebabkan peminat Melaka yang ingin memberi sokongan juga terpaksa menutup hasrat ke Cheras. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) perlu menggunakan kelebihan aksi tanpa penyokong Kuala Lumpur City FC (KL City) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia untuk mencipta kemenangan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Isnin ini.

Pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, ketiadaan penyokong tuan rumah ruang buat skuad Hang Tuah hadir dengan lebih bersemangat bagi memastikan pusingan pertama memihak pasukan menjelang pusingan kedua di Paya Rumput kelak.

Katanya, ia juga kesempatan positif kerana lawan tidak memperoleh kelebihan biasa seperti mana -mana pasukan tuan rumah kerana tiada penyokong tegar mereka yang menjadi nilai tambah motivasi skuad terbabit.

Bagaimanapun, KL City tetap memiliki keistimewaan kerana sudah biasa dengan keadaan padang namun ia bukan halangan buat anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu.

Namun hukuman beraksi tanpa penonton susulan tindakan penyokong tuan rumah menceroboh kawasan padang ketika aksi suku akhir kedua berdepan Selangor itu bagaimanapun dijangka tidak menjejaskan komitmen tuan rumah.

"Sehubungan itu, pemain perlu berusaha gigih mengekalkan momentum untuk menyaingi lawan kerana mereka memiliki barisan mantap sehingga mara ke separuh akhir.

"Malah aksi tanpa penyokong juga menyebabkan peminat Melaka yang ingin memberi sokongan juga terpaksa menutup hasrat ke Cheras," katanya.

Beliau berkata, jika penonton dibenarkan masuk sudah pasti ribuan penyokong Hang Tuah juga akan hadir ke stadium terbabit.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan insiden yang berlaku itu melanggar peraturan MFL berkaitan Peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penonton Perlawanan Piala Malaysia dan Manual Liga Malaysia 2021.

Katanya, insiden berkenaan juga menyaksikan pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan SOP Penonton Perlawanan Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.

Malah Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan KL City dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama itu dan pengurusan skuad terbabit juga bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 1:56 PM